LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang meninjau kemajuan Projek Pembinaan Gereja St Catherine di Kampung Raso 2, di sini, semalam.
Lawatan itu bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan pembinaan gereja berkenaan, selain mendengar taklimat mengenai status pelaksanaan projek serta penggunaan peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Menurut taklimat yang diberikan, projek berkenaan menerima peruntukan UNIFOR secara berperingkat, iaitu RM200,000 bagi Fasa 1 dan RM700,000 bagi Fasa 2.
Peruntukan tersebut digunakan untuk meneruskan pembinaan bangunan gereja yang kini memasuki Fasa 3, manakala pelaksanaan fasa seterusnya masih menunggu kelulusan peruntukan tambahan bagi memastikan keseluruhan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
Billy berkata, lawatan sedemikian penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang menerima peruntukan kerajaan dilaksanakan secara telus, teratur dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa Gereja St Catherine atas komitmen mereka dalam mengurus pelaksanaan projek itu, selain berharap pembinaannya dapat disiapkan sepenuhnya bagi menyediakan kemudahan ibadat yang lebih selesa kepada komuniti setempat.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan rumah ibadat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


