
NEW YORK: Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates akan menyumbangkan hampir keseluruhan kekayaannya bagi membantu golongan memerlukan serta memperkukuh sektor kesihatan awam di seluruh dunia.
Beliau berkata, dalam tempoh 20 tahun akan datang, Yayasan Gates akan membelanjakan lebih AS$200 bilion (kira-kira RM950 bilion) sebelum menutup yayasan itu pada tahun 2045.
Dalam pada itu, Gates secara sinis mengkritik Elon Musk yang didakwa punca pemotongan besar bajet Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) semasa pentadbiran Donald Trump.
“Pemotongan dana yang besar dan mendadak dari Amerika Syarikat, ditambah pula dengan tekanan terhadap negara-negara Eropah yang kini terpaksa mengurangkan bajet bantuan demi menaikkan perbelanjaan pertahanan.
“Ini amat membimbangkan kerana merekalah antara penyumbang paling pemurah selama ini.
“Ini keadaan yang menyedihkan, dan akibatnya, buat pertama kali dalam tempoh yang lama, kadar kematian kanak-kanak dijangka akan meningkat semula,” katanya.
Malah Bill Gates menyindir Musk kerana keliru antara Gaza di Mozambique dan Asia Barat.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peranan negara-negara kaya yang semakin mengabaikan tanggungjawab membantu negara miskin.
Ditubuhkan pada tahun 2000, Yayasan Gates kini memiliki aset melebihi RM337 bilion dan telah memberi impak besar dalam bidang kesihatan global.
Ini termasuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak akibat cirit-birit sehingga 75 peratus. – AFP