
ZAGREB, Croatia: Slaven Bilic kembali dilantik sebagai ketua jurulatih Croatia, umum Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) hari ini, bagi menggantikan Zlatko Dalic yang meletakkan jawatan selepas kegagalan pasukan itu mara lebih jauh di Piala Dunia 2026.
Dalic mengumumkan perletakan jawatan minggu lalu selepas mengemudi Croatia sejak 2017, termasuk membawa pasukan itu muncul naib juara Piala Dunia 2018.
Croatia gagal melangkah ke pusingan 16 terbaik pada edisi kali ini selepas tewas 2-1 kepada Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo.
Bilic, bekas pemain pertahanan antarabangsa Croatia, pernah membimbing skuad kebangsaan itu dari 2006 hingga 2012.
Jurulatih berusia 57 tahun itu, yang turut pernah mengendalikan kelab England seperti West Ham United, West Bromwich Albion dan Watford, dilantik sebulat suara sebagai ketua jurulatih baharu, menurut HNS.
Sepanjang tempoh pertamanya bersama Croatia, Bilic mencatat 42 kemenangan, 15 keputusan seri dan lapan kekalahan dalam 65 perlawanan, sekali gus merekodkan peratusan kemenangan lebih tinggi berbanding Dalic.
Bagaimanapun, pencapaian terbaiknya bersama Croatia ialah mara ke suku akhir Kejohanan Eropah 2008 sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Turkiye.
Sebagai pemain, Bilic mengumpul 44 penampilan bersama Croatia. Sebahagian besar karier kelabnya dihabiskan bersama Hajduk Split selain beraksi bersama West Ham United dan Everton pada pertengahan 1990-an.
Jawatan terakhir Bilic sebagai jurulatih adalah bersama kelab Arab Saudi, Al-Fateh, pada musim 2023/2024.
Di bawah kendalian Dalic, Croatia yang diketuai Luka Modric muncul naib juara Piala Dunia 2018 selepas tewas kepada Perancis di pentas final di Rusia. Beliau turut membawa Croatia ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar serta mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2020. – AFP




