Hati siapapun akan tersentuh apabila membaca kisah tragis Noa, anak perempuan berusia tiga tahun di Jepun yang meninggal dunia kerana kelaparan selepas ditingggalkan oleh ibunya seorang diri di rumah lebih seminggu lamanya.
Melihat gambarnya di internet, luluh rasa hati apabila menggambarkan derita yang ditanggung oleh si comel berkulit putih bersih itu.
Lebih menyakitkan hati apabila ibu itu, Saki Kakehashi, 26, meninggalkan si kecil Noa kerana pergi bercuti bersama teman lelakinya. Ke mana hilangnya naluri keibuan seorang wanita seperti ibu Noa apabila sanggup mengabaikan anak kecil yang belum mampu berdikari semata-mata untuk memuaskan hati dan nafsu sendiri.
Di Mahkamah Daerah Tokyo pada 9 Februari lalu, Kakehashi dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kematian Noa. Justeru wajarlah jika orang ramai tidak berpuas hati dengan hukuman ini kerana dikatalkan tidak setimpal dengan derita yang ditanggung oleh Noa sehingga menemui ajalnya.
Usahkan Noa, orang dewasa pun akan mati kelaparan jika tidak makan minum selama seminggu. Teganya seorang ibu bertindak sedemikian terhadap anaknya sendiri yang sememangnya diketahui belum mampu menguruskan diri sendiri.
Difahamkan Kakehashi hanya meninggalkan gula-gula dan teh untuk Noa sebelum meninggalkannya seorang diri di dalam bilik tidur di apartmen mereka untuk pergi bersama kekasihnya dari 5 hingga 13 Jun 2021. Dia juga menggunakan sofa untuk menghalang Noa ke dapur, kononnya bimbang Noa membahayakan diri dengan pisau dan barangan dapur.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana si kecil Noa menjalani hari-hari itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Malah tidak dapat dipastikan bila Noa meninggal kerana semasa Kakehashi pulang dari cutinya, dia memang menemui Noa yang sudah tidak sedarkan diri.
Entah apa yang dilakukan oleh Noa sepanjang tujuh hari berseorangan? Berapa lama dia menangis apabila perutnya lapar dan tekaknya haus? Rimaskah dia dengan lampin kotor di punggungnya? Berapa lama dia terbaring diam menahan rasa lapar dahaga sebelum organ-organ badannya mula berhenti berfungsi satu demi satu dan akhirnya menghela dan menghembuskan nafas terakhirnya?
Si ibu kejam ini pula cuba menipu pihak berkuasa untuk menyembunyikan salahnya. Kakehashi dikatakan menukar lampin Noa dengan yang baharu dan menyapu losyen pada punggung Noa yang penuh ruam sebelum mendapatkan bantuan. Namun doktor bukan mudah untuk ditipu. Bedah siasat mendapati Noa meninggal akibat dehidrasi dan kelaparan kerana perutnya hampir tiada isi.
Malangnya, Kakehashi hanya dihukum penjara selama lapan tahun atas kesalahan itu. Bukankah dia layak didakwa membunuh kerana sememangnya tindakannya itu yang menyebabkan kematian Noa?
Malah siasatan juga mendapati dia memang selalu meninggalkan anaknya itu berseorangan di rumah untuk pergi ke bar dan pusat permainan bersama rakan-rakannya. Dengan sikap yang sedemikian, layakkah dia bergelar ibu?
Tidakkah dia pernah terfikir pilihan lain untuk Noa sebelum meninggalkannya berseorangan begitu? Misalnya, Noa boleh ditinggalkan bersama jiran, bekas suaminya, keluarganya sendiri atau keluarga bekas suami dan ramai lagi. Tidak mungkin tiada seorang pun yang sudi menjaga Noa.
Namun di sebalik perbuatannya terhadap Noa, ada sisi hitam lain Kakehashi yang juga wajar dinilai. Mungkin dia merasakan apa yang dilakukannya ini betul kerana semasa kecilnya, dia sendiri pernah ditetak dengan pisau, kepalanya pernah ditekan di dalam kolam mandi, disumbat ke dalam beg sampah dan dibiarkan tanpa makan minum selama berhari-hari oleh ibu bapanya sendiri.
Sebagaimana yang dilaporkan oleh The Asahi Shimbun, ibu bapa Noa juga kerap ditangkap atas kesalahan mengabaikan anak. Kakehashi kemudiannya ditempatkan di pusat kebajikan kanak-kanak dan membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah. Melihat latar belakangnya ini, agak sukar juga untuk menghukum Kakehashi kerana dia sendiri sebenarnya ‘sakit’ tanpa disedarinya.
Kata pakar yang menilai kesnya ini, latar belakang hidupnya menjadikan Kakehashi seorang mangsa dera yang tidak percayakan orang lain dan tidak mampu meluahkan perasaannya kepada orang lain. Tanpa menjalani terapi untuk menangani traumanya itu, dia menjadi salah seorang daripada 30 peratus mangsa dera yang kemudian menjadi pendera.
Justeru di dalam kes Noa dan Kakehashi ini, ada banyak iktibar yang boleh kita ambil. Antaranya termasuklah pengukuhan institusi keluarga, pengukuhan institusi kejiranan dan masyarakat, sistem bantuan untuk menangani kebajikan mental dan fizikal mangsa-mangsa dera, sistem dan akta untuk melindungi kanak-kanak dan mangsa dera dan banyak lagi.
Syukurlah kerana di negara kita, kanak-kanak dan wanita dilindungi sepenuhnya namun usaha masih perlu dilakukan untuk menutup beberapa kelompongan yang masih wujud di mana-mana.
Kes Noa dan Kakehashi hanya merupakan satu daripada tompok hitam yang berlaku di mana-mana di seluruh dunia, termasuk juga di dalam komuniti kita sendiri.
Noa kini sudah ceria di taman syurga, ditemani bidadari penjaganya. Tapi kita yang ditinggalkannya harus menjadikan tragedi hidupnya sebagai iktibar untuk membentuk masa depan yang cerah untuk anak-anak di seluruh dunia agar kisah seperti Noa tidak akan berulang lagi.
Isnin lalu kita meraikan sambutan Hari Wanita. Maka bersempena dengan hari tersebut, marilah kita sama-sama mengulangi ikrar untuk mewujudkan dunia yang aman sejahtera untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Selamat Hari Wanita.