
PEMBERIAN Khas tahunan bagi Sarawak dan Sabah dinaikkan kepada RM600 juta tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023.
Ini masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.
Namun, sehingga sekarang, Kerajaan Pusat belum memberi keputusan muktamad kadar sebenar berasaskan formula khas yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani 62 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah.
Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Putrajaya mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Perdana Menteri menaikkan kadar tahunan itu kepada RM600 juta mulai tahun ini.
Perkara ini mula dipersetujui Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu pada 12 September 2024 yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata isu ini masih belum dimuktamadkan.
“Kita masih perlu memperhalusi banyak perkara, termasuk beberapa isu yang telah dibincangkan tetapi masih memerlukan penyelesaian. Sarawak akan terus menuntut haknya dan memastikan segala yang termaktub dalam perjanjian ini dipenuhi,” katanya.
Sharifah Hasidah berkata isu geran khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan masih dalam perbincangan.
Menurutnya, Sarawak telah menetapkan formula tersendiri bagi pengiraan geran khas tersebut, namun keputusan muktamad masih diperlukan.
Masih Bincang
“Perbincangan mengenai perkara ini masih berterusan kerana banyak isu yang belum diselesaikan sepenuhnya. Ini adalah satu proses yang berterusan, dan kita akan terus memastikan hak Sarawak dipertahankan sepenuhnya,” jelasnya ketika ditemui media selepas Program Jerayawara Bubur Asyura di Dewan Serbaguna Kampung Tunku Kuching.
Persoalannya ialah berapakah jumlah Pemberian Khas itu nanti? Hakikatnya, pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, manakala RM26.7 juta untuk Sabah tetapi selepas itu dihentikan sehinggalah pemberian itu disambung semula pada November 2023, berjumlah RM300 juta setahun dan digandakan kepada RM600 juta tahun ini.
Satu lagi persoalan, apakah Kerajaan Pusat perlu membayar tunggakan yang tak berbayar sejak 1970, apabila bayaran itu dihentikan pada 1969? Bayangkan selama 52 tahun sejak 1970 hingga 2022, Sarawak tidak menerima apa-apa dari Kerajaan Pusat meskipun ia ketetapan mengikut MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini bermakna, ada dua isu di sini – bayaran pampasan iaitu jumlah terkumpul selama 52 tahun atau formula khusus dengan kadar pemberian khas tahunan yang munasabah kepada Sarawak dan juga Sabah.
Berapa jumlah yang munasabah? Perkataan ‘munasabah’ ini agak subjektif, terbuka kepada tafsiran tetapi perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
Tidak pasti pula mengapa isu ini ‘disenyapkan’ selama 52 tahun.
Ketika mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu pada awal 2023, Anwar sendiri menyatakan ia adalah pembayaran peringkat awal atau interim sebelum satu formula khusus diumumkan nanti.
Rakyat Sarawak masih menunggu formula khusus itu.
Malah Premier Sarawak, sebelum ini bertegas mahukan pemberian kadar yang munasabah.
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil. Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak. Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” kata Abang Johari pada 2023.
Formula yang dikemukakan Abang Johari sebelum ini ialah jika hasil negara banyak, maka banyak juga diberi untuk Sarawak dan begitu juga sebaliknya kerana negeri ini yang kaya dengan sumber minyak dan gas, turut menyumbang banyak kutipan hasil cukai untuk negara. Apa yang dimaksudkan oleh Premier Sarawak itu ialah jika hasil negara bertambah, maka bertambahlah jumlah Pemberian Khas itu.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya Kerajaan Madani seperti kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 setakat ini.
Selesai Secara Tuntas
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyelesaian itu termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Beliau berkata, penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
“Perkara lain yang diselesaikan ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta penyediaan garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Terdahulu, Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) yang pertama untuk Tahun 2025 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Menjelas lanjut, Fadillah berkata Kerajaan Madani juga menyelesaikan penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah serta cadangan pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.
Kerajaan Madani juga katanya, berjaya menyelesaikan penukaran status pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri, selain tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.
“Di samping itu, pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak secara interim masing-masing dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta bermula pada tahun ini,” katanya.
Apa yang diharapkan ialah penyelesaian tuntas isu tuntutan di bawah MA63 supaya tidak berlanjutan hingga boleh menjejaskan hubungan Putrajaya dan Petra Jaya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.