SEKURANG-kurangnya tujuh sekolah di negeri ini akan terbiar untuk terus berada dalam keadaan daif bagi tempoh beberapa tahun akan datang, andai kerajaan Sarawak tidak menyelamatkannya.
Bagi tujuan itu, kerajaan Sarawak terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membangunkan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan, Bintulu; SK Merpati Jepang, Kuching; SK Pulo, Kuching; SK Penasu, Daro; SK Sageng, Gedong; SK Maludam dan SMK Gedong di Simunjan.
Mengikut perlembagaan, pembinaan, baikpulih dan penyelengaraan sekolah adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.
Jadi mengapa Sarawak pula perlu keluar duit sendiri?
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, cadangan bina baharu atau baik pulih semua sekolah yang disebut itu sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.
“Walaupun kita serah surat kepada KPM supaya memasukkan projek tok, sidak nya selalu nyawab nadai duit, sik cukup bajet.
“Di Penasu (Daro), saya nanyak (projek sekolah) dah masuk ke belum tapi (pihak Jabatan Pendidikan) kata nunggu Kerajaan Pusat.
“Saya (pergi) ke Ulu Segan di Bintulu, lepas musim banjir tempat murid makan (SK Ulu Segan), teruk dengan lantai macam ombak. Saya kata polah sekolah baharu, jadi masuk dalam ‘list’ (senarai) KPM, sik jua ada. Ney alah (tahan) kita nunggu (macam) sungai sik berhulu.
TANGGUNGJAWAB PERSEKUTUAN
“Jadi, kita bangun sekolah tok demi masa depan murid walaupun terpaksa guna duit kerajaan Sarawak. Ikut perlembagaan, nok tok ditanggung Kerajaan Pusat.
“Di Gedong sekolah teruk jua, makey kontena. Banyak lagi sekolah kedak tok,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru SK Maludam Isnin lalu.
Sekolah berharga RM34 juta itu yang mula dibina pada 2019 turut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak. Ia boleh menempat lebih 300 murid.
Abang Johari mahu model SK Maludam sebagai standard minimum untuk KPM sekiranya mereka berhasrat membina sekolah rendah di negeri ini pada masa akan datang kerana dilengkapi sebaik mungkin kuarters guru, kantin, kelas, asrama dan pelbagai prasarana lain.
Mungkin sudah tiba masanya (atau sudah terlewat sedikit), Kerajaan Pusat menyerahkan autonomi pendidikan kepada Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Awal tahun ini, Putrajaya dilaporkan pada dasarnya bersetuju memberi kuasa autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan di Sarawak. Namun, setakat ini belum ada perubahan atau keputusan mengenai dua isu ini, yang diharapkan tidak dijadikan ‘hiasan’ bahan kempen apabila tiba musim pilihan raya sahaja.
Kita sebagai pengamal media memerhati keadaan dan kita akan tahu ada kemajuan atau tidak, atau jika ada kenyataan lama diulang ‘Kerajaan Pusat pada dasarnya setuju…..’.
Autonomi antara lain bermaksud, Sarawak sendiri menguruskan hal pembangunan sekolah dan masalah kekurangan guru tetapi dana terus dibiayai Kerajaan Pusat.
RAYU KEPADA PM
Menurut Abang Johari, beliau sendiri sudah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mana-mana projek sekolah bernilai RM50 juta ke bawah, biar Sarawak sendiri melaksanakannya.
“Beri duit, kamek molah. Ya cara kita tetapi kadang-kadang sidak pegawai sik setuju,” katanya lagi pada majlis di Maludam Isnin lalu.
Awal tahun ini, Kerajaan Pusat sudah memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah tanpa perlu merujuk lagi kepada Putrajaya.
Berikutan itu, Sarawak telah menerima senarai 92 projek infrastruktur bernilai RM1.092 bilion dari Kerajaan Persekutuan. Daripada jumlah keseluruhan projek, 87 diterima Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan lima dikendali Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn meskipun bidang kuasa pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak tetap memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk sektor pendidikan di negeri ini.
“Sejak 2017, kerajaan Sarawak telah melabur lebih RM2 bilion dalam pembangunan infrastruktur pendidikan, penubuhan sekolah antarabangsa milik kerajaan Sarawak, penawaran biasiswa dan bantuan pendidikan, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif serta program pendidikan di Sarawak,” katanya.
Baru-baru ini, Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas urus dan selia dana sekolah daif.
Timbalan Presiden DTTAS, Ricky Sani berkata kelemahan pemantauan projek menaik taraf sekolah daif seluruh negara menjadi punca isu itu tidak dapat ditangani secara tuntas. Katanya, isu sekolah daif yang telah lama berlarutan di negeri ini, kerana kuasa selia perkara ini masih terletak pada KPM dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
“Setakat ini kita lihat tiada sebarang perkembangan positif mengenai kemajuan isu sekolah daif. Autonomi pendidikan Sarawak hanya terhad kepada Fasal 17, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang menyebut Sarawak dan Sabah diberi kuasa untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak meminta lebih atau kurang daripada perkara yang telah ditetapkan dalam Fasal 17 Laporan IGC. Oleh itu, kita mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengurus dan menyelia dana peruntukan sekolah daif yang melibatkan kerajaan Sarawak supaya program libat urus berjalan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan akhbar ini.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.