LUMUT atau alga boleh dilihat tumbuh dengan merata di negeri ini dan berwarna kehijauan. Ia tumbuh di atas substrat yang keras seperti atas permukaan batu dan batang pokok. Istilah lumut berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud tumbuhan hijau yang kecil.
Kini, Sarawak sedang membangunkan alga untuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), iaitu minyak pesawat.
Malaysia Airlines pada 2021 menjadi syarikat penerbangan pertama negara yang menggunakan bahan api penerbangan mampan, tetapi menggunakan campuran 38 peratus SAF yang diperbuat daripada minyak masak terpakai dan bahan api jet konvensional.
Pesawat MH7979 itu terbang dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Disember 2021.
Singapura pula berusaha bagi menjadikan minyak kelapa sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran SAF berikutan peningkatan permintaan penggunaan alternatif bahan api jet di seluruh dunia.
Mac lalu, Emirates Airlines menjalankan ujian penerbangan pertamanya dengan Boeing 100-777ER, enjin tunggal yang dikuasakan oleh 300 peratus SAF yang pertama di Asia Barat dan Afrika Utara. Penerbangan ujian menggunakan SAF itu mempunyai makna istimewa kerana Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengisytiharkan 2023 sebagai “Tahun Kelestarian”.
Pada masa ini, SAF diluluskan untuk digunakan dalam semua pesawat hanya apabila dicampur sehingga 50 peratus dengan bahan api penerbangan konvensional.
Pengeluar pesawat Airbus pula menyasarkan semua pesawatnya akan beroperasi menggunakan 100 peratus SAF menjelang 2030.
PELEPASAN KARBON
Pengarah Pemasaran Produk Pesawat Lorong Tunggal Airbus Raymond Manougian berkata syarikat berkenaan telah memperkenalkan generasi terkini pesawat A220 yang bercirikan penggunaan bahan api lebih rendah serta pelepasan karbon sebanyak 25 peratus berbanding pesawat generasi sebelumnya dengan saiz sama.
“Bagi semua pesawat Airbus, A220 bersedia untuk beroperasi dengan 50 peratus SAF. Ini memberi sumbangan segera kepada matlamat industri untuk mengurangkan impak penerbangan terhadap alam sekitar,” katanya pada sesi lawatan demonstrasi penerbangan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Langkawi kelmarin.
Isnin lalu, Sarawak mencatat sejarah tersendiri apabila pesawat Airbus menggunakan bahan api daripada mikroalga, bahan api buatan Sarawak berjaya terbang sejauh 1,286 kilometer dari Kuching ke Langkawi.
Lebih manis, pesawat Airbus (airBaltic A220-300) itu dinaiki sendiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi dari Bumi Kenyalang.
Berbanding bahan api jet fosil konvensional, SAF diperbuat daripada 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah seperti minyak masak terpakai yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus.
Sebagai ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Malaysia juga tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh organisasi itu memandangkan industri penerbangan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon.
Bayangkan suhu purata bumi dijangka meningkat melebihi had 1.5 darjah Celsius buat pertama kali dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan pemanasan global yang semakin bertambah buruk.
Menurut laporan BBC, pasukan saintis dan penyelidik yakin bumi berkemungkinan besar bakal memecahkan rekod suhu purata itu sebelum 2027. Peluang itu juga semakin meningkat disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida daripada aktiviti manusia dan corak cuaca El Nino yang akan melanda akhir 2023.
EMAS HIJAU
Berdasarkan senario ini, Sarawak sebenarnya sudah berada di hadapan bukan sahaja berbanding negeri lain, malah menjangkau langkah Kerajaan Persekutuan itu sendiri.
Menurut Abang Johari, Sarawak berkemampuan membekalkan bahan api penerbangan mampan berasaskan alga kepada industri penerbangan di seluruh dunia yang berminat beralih kepada amalan hijau. Ini berdasarkan kejayaan membangunkan loji jana kuasa tenaga hijau di Sejingkat yang berkeupayaan mengeluarkan sekitar 45 tan SAF untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.
Malah kata beliau, usaha Sarawak tidak terhenti setakat itu apabila kini membangunkan kemudahan serupa bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor berkenaan. Fasiliti itu dibina oleh SEDC Energy Bhd dan Petronas untuk menyerap karbon dioksida dan pembiakan alga bagi penghasilan SAF dan biofuel,”katanya pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEDC Energy Sdn. Bhd, Petronas dan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) di Langkawi, Isnin lalu.
Pada majlis itu, Abang Johari turut berkongsi pengalaman menaiki pesawat yang dikuasakan SAF berasaskan alga dihasilkan di Sarawak untuk ke Langkawi.
“Kami (delegasi Sarawak) sebenarnya menaiki pesawat Airbus A220 yang menggunakan SAF melalui kerjasama antara AMIC, SEDC Energy dan Petronas. Berikutan perubahan iklim dan peralihan tenaga yang mendesak ini, kerajaan Sarawak mempunyai kapasiti untuk menyediakan penyelesaian bahan api hijau berasaskan sumber yang mampan,” katanya.
Kita percaya syarikat penerbangan utama di dunia ini, kemungkinan besar akan membeli minyak alga untuk pesawat mereka. Airbus sendiri sudah membuat ujian itu dan kemungkinan besar akan terus menggunakan alga.
Usaha membangunkan SAF daripada alga tepat pada masanya ketika Sarawak sendiri sedang berusaha menubuhkan syarikat penerbangan butik yang akan turut menggunakan bahan api mampan produk tempatan – minyak mikroalga.
Sarawak mempunyai rancangan untuk meningkatkan penanaman alga kepada 400 hektar yang boleh menghasilkan kira-kira 500,000 tan setahun minyak alga mentah atau minyak boleh diperbaharui. Itu boleh disamakan dengan kira-kira 10,000 tong minyak sehari dengan kira-kira 37 peratus kadar pengekstrakan minyak alga mentah daripada alga.
Seperti kata Abang Johari ini bermakna, tidak perlu mencari minyak lagi di luar pantai atau darat dan boleh meminta petani menanam minyak alga dengan lebih mampan.
Katanya, kos setong adalah di bawah AS$50 dan jika dijual kepada kilang penapisan bio ia mungkin mencecah sekitar AS$110 kerana ia adalah minyak hijau.
Kesimpulannya, ‘emas hijau’ iaitu alga atau lumut bakal memberi pendapatan tambahan baharu untuk Sarawak.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak