TUGAS Ahli Parlimen akan menjadi lebih lancar apabila memperoleh peruntukan mencukupi. Lebih banyak peruntukan diberi, lebih kuat kedudukannya di kawasan. Ini kerana peruntukan itu adalah untuk ‘service’ keperluan rakyat di kawasan yang mereka wakili.
Lantang bagaimana sekalipun suara di Parlimen, jika gagal memberi khidmat terbaik di kawasan terutama di luar bandar dan pedalaman, boleh membawa padah apabila tiba waktu mengundi pada pilihan raya umum.
Penulis pernah terserempak dengan seorang Ahli Parlimen yang sedang berbincang dengan pembantunya sambil minum di sebuah restoran, dengan timbunan surat atas meja. Ahli Parlimen ini kelihatan membuka satu demi satu sampul surat, dengan pembantunya membuat catatan.
“Inilah antara tugas saya dan berusaha untuk memenuhi permintaan rakyat kawasan. Ada surat minta projek untuk masyarakat kampung, ada surat minta bantuan untuk hantar anak ke universiti, ada surat jemputan untuk rasmi itu dan ini,” kata Ahli Parlimen itu sambil mengasingkan sampul surat mengikut keutamaan.
Bagaimana nak memenuhi permintaan puluhan ‘surat cinta’ ini? Kalau tak bagi, rakyat marah tak?
“Kena buat perkiraan bijak. Saya beri keutamaan untuk sesuatu projek yang memberi manfaat kepada seramai mungkin rakyat. Yang macam ini, saya salurkan peruntukan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Semua ini bergantung kepada jumlah peruntukan untuk seorang Ahli Parlimen. Makin banyak peruntukan, makin ramai rakyat akan dapat manfaat – semuanya untuk rakyat dan ia disalurkan dengan cara betul,” katanya.
“Bagaimana pula sumbangan untuk orang di kampung bila ada kematian atau perkahwinan?
“Itu pandai-pandailah korek poket sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, sebahagian Ahli Parlimen terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa, kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pada tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.
Sebelum ini, laporan media menyatakan peruntukan untuk Ahli Parlimen dikurangkan lebih 65 peratus, daripada RM3.8 juga kepada RM1.3 juta pada tahun ini.
Perdana Menteri berkata, peruntukan pembangunan itu juga akan diberikan secara berperingkat dan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan jika ada keperluan mendesak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi ketika mengulas isu itu berkata peruntukan RM1 juta oleh kerajaan dalam bentuk ‘Outright Grant’ (OG) atau pemberian terus kepada Ahli Parlimen tahun ini memang tidak mencukupi kerana berkurangan daripada peruntukan yang disediakan kerajaan sebelum ini.
Katanya, dengan peruntukan OG yang berkurangan itu akan menyukarkan Ahli Parlimen untuk menyalurkan dana kepada kawasan Parlimen yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) malah ada kawasan yang memiliki tiga DUN.
“Kebiasaanya peruntukan dalam bentuk OG itu untuk diberi kepada JKKK, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan, kelab dan NGO yang berdaftar di setiap kawasan Parlimen.
“Dana yang diberikan itu untuk mengadakan pelbagai program dan aktiviti. Bagi saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Igan, banyak membantu sekolah di kawasan saya dengan banyak menyalurkan dana melalui PIBG untuk sekolah mengadakan pelbagai program dan aktiviti kokurikolum, akademik dan keceriaan sekolah.
“Saya memberi fokus kepada sekolah kerana program ko-kurikolum selalu diadakan dan bukan bersifat ‘one-off’. Dengan cara ini, pelajar akan mendapat impak positif,” katanya.
Tidak pasti lagi bagaimana butiran lanjut diumumkan Anwar apabila membentangkan Belanjawan 2023 semula pada 24 Februari nanti dan pasti akan ada Ahli Parlimen turut menyuarakan isu ini dalam ucapan perbahasan masing-masing di Dewan Rakyat.
Pada 13 September tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeterai Memorandum Persefahamam (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH). Antara hasilnya ialah semua Ahli Parlimen pembangkang juga mendapat peruntukan yang sama seperti wakil rakyat kerajaan.
Antaranya, Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi peruntukan untuk setiap Ahli Parlimen atas nama Projek Mesra Rakyat (PMR) yang sepatutnya RM2 juta setahun, tetapi dikatakan hanya RM1 juta diluluskan.
Ahmad Johnie percaya, Kerajaan Perpaduan akan mengambil maklum akan isu itu dan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan demi kebaikan rakyat.
Tetapi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat satu langkah ke depan apabila memberi peruntukan RM1 juta setahun untuk setiap Ahli Parlimennya.
Bagaimanapun, peruntukan itu cuma separuh daripada peruntukan untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Setiap ADUN di negeri ini diberi peruntukan RM2 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan masing-masing.
Ia adalah untuk ADUN mewakili GPS iaitu seramai 76 daripada jumlah 82 ADUN, jumlah berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) Disember lalu.
Keadaan itu menyebabkan ADUN GPS kelihatan ‘lebih pemurah’ berbanding Ahli Parlimen GPS, yang sesetengahnya terpaksa membahagi peruntukan tahunan RM1 juta kepada dua atau tiga kawasan DUN di Parlimen masing-masing, sedangkan ADUN boleh mencurah semua RM2 juta setahun itu untuk satu kawasan DUNnya sahaja.
Ini belum lagi Program Tranformasi Luar bandar (RTP) yang diperuntukkan kepada setiap ADUN sebanyak RM5 juta seorang khusus untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding dengan Ahli Parlimen yang mendapat hanya RM2.5 juta untuk dua atau tiga kawasan DUN.
Keadaan ini jika tidak dijelaskan kepada rakyat akan memberi impak negatif kepada reputasi setiap Ahli Parlimen di mata rakyat. Ini kerana secara perbandingan kuantiti dan jumlah projek pembangunan yang diberikan oleh setiap ADUN, jauh lebih banyak daripada Ahli Parlimen.
Kadang-kadang agak melampau bagi sesetengah rakyat untuk membuat perbandingan ‘YB pemurah’ sedangkan peruntukan diberi jauh beza iaitu separuh dan itupun kena ‘bagi’ untuk keperluan rakyat di dua atau tiga DUN dalam kawasan Parlimen yang saiznya lebih besar.
Ini berlaku sejak kerajaan Sarawak mengaut hasil tahunan lebih tinggi, sebahagian besarnya melalui kutipan cukai di bawah Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum dan gas. Sarawak mencatat rekod pendapatan tertinggi dalam sejarah apabila meraih hasil RM11.9 bilion tahun lalu, naik 17 peratus berbanding 2021.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga mengakui keputusan mengurangkan peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan urus tadbir bagi kawasan di pedalaman.
Ahli Parlimen Kapit itu dalam kenyataan kelmarin berkata, pengurangan peruntukan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu akan memberi cabaran lebih besar kepada beliau dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat bagi kawasannya yang terletak di pedalaman dengan keluasannya menyamai negeri Pahang.
“Sebagai Ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara. Meskipun saya berasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen yang akan dikurangkan tahun ini, dijangka menjadi antara isu utama dibangkitkan pada sesi pemukiman Ahli Parlimen Kerajaan, Ahad ini.
Katanya, seramai 148 Ahli Parlimen blok kerajaan akan terbabit dalam sesi pemukiman di Putrajaya sebelum Dewan Rakyat mula bersidang keesokannya.
“Tunggu jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sesi pemukiman itu (isu pengurangan peruntukan Ahli Parlimen tahun ini). Pastinya soal peruntukan pembangunan Ahli Parlimen akan dibangkitkan pada sesi pemukiman yang sebelum ini disebut sebagai sesi taklimat,” katanya seperti dilaporkan media kelmarin.
Nanti kita tunggu butiran lanjut jawapan Anwar dan lihat bila isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak