
PENDEDAHAN Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak mengenai penemuan sarang pengedaran dadah berhampiran Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga, baru-baru ini amat mengejutkan.
Lebih mengejutkan 40 individu terdiri daripada 34 lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun dikesan positif dadah jenis methamphetamine atau syabu di kawasan pedalaman itu.
Tetapi bagi sesetengah orang, isu dadah di kawasan luar bandar dan pedalaman bukan lagi mengejutkan, malah sudah berleluasa sejak kebelakangan ini, meresap dalam komuniti desa termasuk kawasan ladang sawit.
Ini terbukti apabila berlaku tangkapan oleh pihak polis mengenai kegiatan mengedar serta menagih dadah dan ‘jual-beli’ dadah pelbagai jenis terutama syabu di banyak lokasi luar bandar, sesuatu yang hanya kedengaran di kawasan bandar selama ini.
Semalam seorang lelaki dan wanita disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah telah ditahan semasa serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sarikei.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitendan Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu sejak awal 2024 di kawasan Sarikei, Meradong, Tanjung Manis dan Belawai secara dalam talian.
Mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali setelah penemuan syabu seberat 82.20 gram, dengan anggaran nilai RM9,042 di atas meja ruang tamu sebuah rumah.
Apa sudah jadi? Di mana ibu bapa? Apa peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKM) di setiap kampung dan rumah panjang? Dadah bukan sahaja musuh nombor satu negara tetapi pemusnah masa depan generasi baharu.
Harapan ibu bapa untuk melihat anaknya berjaya dalam hidup berkecai apabila terjerumus dalam gejala dadah.
Ibu bapa perlu mengawasi tingkah laku anak mereka yang mungkin juga terperangkap dengan rakan sebaya terjebak dengan dadah, tanpa pengetahuan mereka.
Tiada ibu bapa yang mahukan anaknya terjebak macam itu tetapi sebaik mengetahui mengenai gejala itu, ia sudah agak terlambat kerana anaknya sudah jauh ketagihan atau mungkin sedang berada di lokap polis.
Menurut Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sarawak Mohamed Izuan Abdul Rahman pihaknya berjaya memusnahkan sebuah pondok yang dijadikan sarang pengedaran dadah berhampiran Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga, sebuah kawasan di pedalaman, dalam Operasi Perdana/Bersepadu minggu lalu.
Operasi dua hari itu turut disertai Jabatan Imigresen Bahagian Kapit.
“Semasa serbuan pada hari pertama kira-kira pukul 11.30 pagi, dua lelaki dipercayai seorang warga tempatan dan seorang warga asing yang bertindak sebagai penjaga sarang terbabit telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan operasi.
“Berdasarkan risikan dan siasatan AADK, pondok berkenaan dipercayai menjadi pusat pengedaran dan penjualan dadah kepada penagih di sekitar Sungai Asap dan kawasan berdekatan. Sarang dadah yang dikenali dengan gelaran ‘Port Bukit’ itu dilengkapi dengan dapur memasak dan dibina jauh dari kawasan penempatan dengan akses yang sukar melalui jalan berbukit dan berliku.

MASYARAKAT PERLU PEKA
“Kelengkapan memasak menunjukkan pondok itu turut dijadikan tempat bermalam, bukan sekadar lokasi transaksi dadah. Tindakan membakar dan memusnahkan pondok itu diambil bagi memastikan aktiviti penjualan dadah di kawasan itu tidak berulang, memandangkan ramai pelanggan ialah golongan muda.
“Kalau ikutkan, Sungai Asap ini ialah kawasan pedalaman. Ia membuktikan isu dadah kini bukan lagi tertumpu di bandar, malah sudah menular ke kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Mohamed Izuan menyeru masyarakat setempat agar lebih peka dan membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.
“Prihatinlah terhadap komuniti anda sendiri. Mungkin hari ini belum terkena anak kita, tetapi esok lusa kita tidak tahu. Bertindak sekarang untuk selamatkan anak bangsa kita daripada najis dadah,” katanya.
Mohamed Izuan berkata kesemua 40 individu yang positif dadah di situ tidak mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. Mereka akan dibawa ke mahkamah litar di Belaga untuk mendapatkan perintah di bawah Seksyen 6(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), sebaik sahaja laporan patologi dikeluarkan.
Perintah mahkamah diperlukan bagi menentukan sama ada mereka perlu menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi atau menerusi program komuniti.
Mungkin banyak lagi di luar bandar dan pedalaman lain yang kita tidak tahu. Mengharapkan pihak berkuasa seperti AADK dan polis sahaja tidak memadai. Yang mungkin lebih tahu gerak-geri penagih dan pengedar dadah ini adalah masyarakat sekitar kawasan itu sendiri. Pasti mereka akan terhidu sesuatu.
Memandangkan kes dadah semakin menular, ada baiknya pihak kerajaan menggerakkan jentera ketua masyarakat dan ketua kaum untuk turut memainkan peranan dengan lebih efektif sebagai mata dan telingga. Laporkan kepada pihak polis jika mengesyaki sesuatu.
Pihak berkuasa mungkin perlu mengubah kaedah mengesan dan menangkap mereka pengedar dan penagih dadah. Contohnya, untuk menangkap pencuri memerlukan ‘pencuri’. Untuk mengesan mereka yang terbabit dengan dadah, mungkin perlu ‘rekrut penagih’ itu sendiri yang tahu ‘port’ lokasi mereka pernah bersama sebelum ini.
PELBAGAI TAKTIK
Pengedar dadah juga semakin canggih dengan menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa.
Pelbagai taktik termasuk mengirim menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke Wilayah Sarawak dengan menghantar bungkusan ke alamat yang tidak berpenghuni.
Terbaharu, pada 24 April lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier dan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 4,080 gram yang dianggarkan bernilai RM130,560, di Miri.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, dalam kes pertama sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik Miri telah menjalankan pemeriksaan menggunakan Anjing Pengesan Dadah (APD) di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Phase 3, Jalan Miri By Pass sekitar 9.30 pagi.
“APD telah mengesan satu kotak bungkusan yang disyaki mengandungi dadah berbahaya. Pemeriksaan rapi kemudiannya membawa kepada penemuan dua bungkusan teh yang mengandungi 2,040 gram dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran nilai RM65,280.00 yang dialamatkan ke sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Ini bukan kali pertama membawa masuk dadah ke Sarawak, selain beberapa kes tangkapan di KLIA2 dalam usaha membawa dadah ke Miri.
Malah di Kuala Lumpur minggu lalu, kegiatan tiga bersaudara disyaki bersubahat dengan sindiket dadah dari Amerika Latin terbongkar selepas ditahan bersama 2.16 tan dadah menerusi serbuan ke atas tiga rumah sewa di Lembah Klang.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM82.14 juta.
“Dadah ini biasanya kita dengar dari kawasan Golden Triangle (Thailand-Myanmar-Laos) tetapi kali ini siasatan awal kita percaya dadah ini datang dari Amerika Latin.
“Kita sedang dapat pengesahan dari rakan sejawat di negara yang berkenaan, dadah ini masuk melalui kontena di Pelabuhan Klang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Kita berharap semua pihak membantu menangani masalah dadah ini terutama ibu bapa.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak