

DALAM kehidupan berorganisasi, berpersatuan atau dalam kerja berkumpulan, satu realiti yang sering terjadi ialah ketika kejayaan dicapai, ramai akan tampil bersorak, mengambil tempat, bergambar dan mengaku mereka terlibat bersama.
Namun, apabila berlaku kegagalan, kesilapan atau musibah, ramai yang senyap, menjauhi diri dan tidak mahu dikaitkan langsung. Sikap ini bukan sahaja memudaratkan semangat berpasukan, malah boleh membunuh potensi insan yang sedang berusaha dengan jujur.
Fenomena ini ibarat satu penyakit sosial yang perlu kita rawat. Ia tidak hanya berlaku di organisasi besar, bahkan dalam jawatankuasa masjid, persatuan penduduk, kumpulan sukarelawan dan juga dalam pentadbiran awam.
Budaya ‘ambil nama bila menang’ dan ‘lari bila kalah’ tidak akan membantu membina sebuah masyarakat yang kukuh dan bersatu hati. Bagi mengubati penyakit yang boleh berlaku dalam apa-apa organisasi sekalipun, kita perlu berusaha mencari jalan penyelesaian dan antaranya dengan menanam sikap positif dalam setiap kita.
Sikap Positif Sebagai Akar Kepada Kepimpinan dan Ukhuwah
Apa yang lebih penting adalah membina satu sikap yang matang dan positif di mana kita menerima kejayaan dan kegagalan sebagai tanggungjawab bersama. Sebuah pasukan yang matang tidak akan menyalahkan individu ketika jatuh, sebaliknya bersama-sama membangkitkan semula kekuatan mereka. Kita harus berubah daripada budaya menuding kepada budaya mendukung.
Dalam Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan teladan bagaimana musibah dan kemenangan ditanggung secara kolektif. Dalam Perang Uhud, walaupun ada kesilapan taktikal, Baginda tidak menyalahkan sesiapa secara individu tetapi mengembalikan semangat pasukan. Ini membina kekuatan dalaman yang luar biasa dalam jemaah Islam ketika itu.
Organisasi moden juga seharusnya menghidupkan semangat ini. Sikap saling menyokong akan mencipta ruang yang selamat untuk belajar daripada kesilapan dan memberi galakan agar tidak mudah putus asa. Kita semua sebagai “team player” harus melihat apa sahaja yang kita lakukan pada perspektif tanggungjawab bersama.
Tanggungjawab Bersama Sebagai Kunci Keutuhan
Setiap kejayaan organisasi bukan milik seorang dan setiap kegagalan bukan beban seorang. Ini adalah prinsip keadilan dalam kepimpinan dan kehidupan bermasyarakat. Jika kita benar-benar ingin membina satu kelompok kerja atau masyarakat yang berjaya, maka perlu beberapa prinsip dan pegangan berikut:
• Perkongsian kejayaan tanpa keangkuhan. Semua ada peranan masing-masing yang turut menyumbang atas kejayaan tersebut.
• Perkongsian kegagalan tanpa menyalahkan sesiapa dan terus berusaha mencari apakah punca atau mengenali aspek mana yang boleh diperbaiki.
• Sokongan moral kepada mereka yang jatuh dan terus mengajak serta memberi tunjuk ajar bagi memperbaiki kelemahan yang telah dikenalpasti.
• Ruang memberi peluang kedua kepada yang tersilap. Kata-kata semangat sebagai ubat penebus rasa kekecewaan dan membuka jalur baru untuk penebus kegagalan itu.
Tanggungjawab bersama juga memberi mesej bahawa setiap orang dihargai. Orang akan bekerja dengan lebih jujur, tekun dan amanah bila mereka tahu mereka tidak akan ditinggalkan apabila terjadi perkara yang tidak diingini. Ini akan menanam nilai kepercayaan, kesetiaan dan semangat setiakawan yang tinggi. Secara langsung akan membina budaya menyokong dan menyantuni antara satu sama lain.
Membina Budaya Menyokong dan Menyantuni
Kita harus menjadi masyarakat yang bukan sahaja pandai menilai prestasi, tetapi juga tahu menyantuni proses dan perjalanan kehidupan kita sebagai manusia yang saling memerlukan. Bantu mereka yang gagal kerana hari ini mereka gagal, esok mungkin mereka akan jadi sumber kekuatan kepada orang lain.
Apa yang perlu kita semai ialah budaya mengucap tahniah dengan rendah hati dan bukannya sombong dengan mendabik dada. Menegur dengan kasih sayang dan bukan menghukum dengan kejam. Membantu dengan tangan dan bukan menambah beban dengan kata-kata yang menimbul rasa tidak puas hati dalam kumpulan.
Kita perlu mengajak masyarakat untuk menyokong dari belakang, bukan hanya berdiri di barisan hadapan bila kamera terpasang. Sering kali kejayaan itu hasil kerja mereka yang tidak terlihat. Maka, jangan hanya bersorak bila berjaya, tetapi kita hendaklah bangkit bersama bila terjatuh. Semua ini sebagai pengajaran untuk kita semua menghadapi masa hadapan bukan sahaja mencabar tetapi tidak menentu.
Pengajaran Untuk Masa Hadapan Yang Tidak Menentu
Marilah kita mengubah naratif kita dalam kehidupan ini dengan berpegang kepada prinsip daripada budaya menumpang nama kepada budaya menyumbang tenaga. Daripada memburu glamor kepada mencipta nilai. Daripada lari daripada masalah kepada menyelesaikannya secara bersama.
Perubahan ini hendaklah bermula dari dalam diri. Kita semua ada peranan sama ada sebagai pemimpin, ahli pasukan, sukarelawan, penjawat awam, pekerja syarikat atau ahli masyarakat untuk mengubah cara kita menyokong dan menilai antara satu sama lain.
Kejayaan yang sebenar ialah apabila semua kita ada rasa pemilikan dan kegagalan dilihat sebagai peluang belajar serta mengambil iktibar bersama. Inilah jalan kejayaan yang diberkati dan kegagalan yang dapat mendidik kita semua.
Kejayaan Yang Diberkati, Kegagalan Yang Mendidik
Dalam kehidupan ini, tidak ada yang benar-benar menang sendirian dan tidak ada yang benar-benar jatuh tanpa mampu bangun. Apa yang kita perlukan hanyalah satu masyarakat yang tahu menyokong dengan ikhlas dah bukan hanya menumpang ketika gemilang.
Marilah kita tanamkan nilai tanggungjawab bersama dalam setiap ruang yang kita ceburi. Jadikan hidup ini lebih bermakna dan bukan dengan menilai siapa hebat dan siapa lemah, tetapi dengan berdiri bersama dalam semua keadaan.
Justeru, bersoraklah bila berjaya, tetapi jangan senyap bila ada yang jatuh.
Wallahu Alam Bissawab