LIMBANG: Lonjakan bil elektrik yang menimbulkan keresahan pengguna di Sarawak perlu diberi penjelasan sewajarnya oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak berkata SEB perlu memberi penerangan yang jelas kerana dari segi kadar tarif elektrik di Sarawak, adalah tidak berubah.
Katanya, peningkatan itu mungkin disebabkan kaedah pelaksanaan pemasangan meter pintar di seluruh negeri.
“Setakat ini belum ada perubahan untuk (kadar tarif) elektrik bagi domestik dan komersial, cuma mungkin dari segi pelaksanaan itu (meter pintar) jadi pihak SEB perlu terangkan,” katanya selepas majlis perasmian Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan orang ramai mengenai lonjakan bil elektrik di Sarawak sejak kebelakangan ini.
Awang Tengah mengulangi bahawa tiada berlaku kenaikan kadar elektrik buat masa ini.
“Dari segi kadar itu tidak ada perubahan, mungkin dari segi pelaksanaan transisi kaedah (meter pintar)… tapi ini perlu penjelasan.
“Saya berharap Kementerian Utiliti bersama SEB harus menerangkan perkara ini,” tambahnya.
Baru-baru ini, Sarawak Energy dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa peningkatan caj elektrik dialami pengguna baru-baru ini berkait rapat dengan pemasangan meter pintar baharu yang merekodkan penggunaan tenaga dengan lebih tepat.
Menurut SEB peningkatan bil ini juga berpunca daripada kurang pendaftaran oleh meter lama dan perubahan bermusim dalam penggunaan tenaga.
Berikutan itu, pengguna melahirkan kebimbangan dengan kenaikan bil elektrik mereka selepas bertukar kepada meter pintar tersebut.
Oleh ADENG EDRUS