

PERSEMBAHAN layang-layang LED berbentuk ikan pari oleh peserta Vietnam mencuri perhatian pada malam BIKF 2025 di Bintulu. Foto BDA
BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2025 tampil dengan kelainan tahun ini melalui penganjuran pertunjukan layang-layang bercahaya menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) pada waktu malam, sekali gus menambah tarikan baharu kepada acara tahunan tersebut.
Ketua Penyelaras BIKF 2025, Donita Abdullah berkata, pertunjukan itu dijadual bermula sekitar 8.00 malam bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan layang-layang bercahaya yang jarang dapat disaksikan di Malaysia.

“Tahun ini kita memperkenalkan acara baharu iaitu menerbangkan layang-layang LED pada waktu malam.
“Sebelum ini penerbangan hanya diadakan pada siang hari. Sesi malam dijadualkan bermula sekitar 8.00 hingga 8.30 malam selepas peserta berehat seketika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa program penanaman pokok dan pembersihan pantai bersama peserta BIKF 2025 di Pantai Tanjung Batu di sini, hari ini.
Menurutnya, kira-kira 200 individu termasuk pelayang dari seluruh dunia menyertai program itu yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memupuk tanggungjawab menjaga kebersihan pantai dan semangat kerjasama komuniti.
“Kami berkolaborasi dengan beberapa agensi dan syarikat swasta untuk menanam pokok serta membersihkan Pantai Tanjung Batu.
“Objektifnya adalah untuk menanam kesedaran menjaga kebersihan kawasan dan memupuk semangat kerjasama dalam setiap acara yang dianjurkan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih