Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • BIIS 2025 tonjol platform serantau angkat agenda integriti Borneo
  • TEMPATAN

BIIS 2025 tonjol platform serantau angkat agenda integriti Borneo

Utusan Sarawak 16 hours ago
BERUCAP… Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 di BCCK, hari ini.


KUCHING: Penganjuran Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo 2025 (Borneo International Integrity Summit – BIIS 2025) disifatkan sebagai satu penanda aras penting dalam memperkasa nilai integriti, kepimpinan beretika dan ketelusan dalam kalangan masyarakat rantau Borneo.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan menghimpunkan lebih 800 peserta dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Kalimantan, Semenanjung Malaysia, Singapura dan Filipina.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, dalam ucapannya berkata, penganjuran BIIS 2025 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh budaya integriti di semua peringkat masyarakat.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) atas kejayaan menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Menurut beliau, BIIS 2025 bertemakan ‘Menerajui Inovasi, Ketelusan dan Kepimpinan Beretika ke Arah Masa Depan Lestari’, amat bertepatan dengan cabaran era digital masa kini yang menuntut inovasi dalam pentadbiran, ketelusan baik serta pembangunan lestari yang berpaksikan nilai integriti.

Tambah beliau, antara objektif utama BIIS 2025 termasuk memperkukuh kesedaran awam terhadap integriti dan akauntabiliti, membina jaringan kolaboratif antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan, serta menjadi platform sinergi serantau dalam membanteras rasuah dan meningkatkan kepercayaan terhadap institusi awam.

Turut diadakan bersempena BIIS 2025 ialah sesi ceramah, dialog kepimpinan, perbincangan meja bulat serta pameran inovasi berteraskan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) melibatkan pelbagai institusi dari dalam dan luar negara.

“Penyertaan aktif pelajar sekolah, universiti dan penjawat awam dari pelbagai latar belakang menunjukkan bahawa platform ini telah berjaya menyatukan pihak berkepentingan dalam membudayakan integriti sejak di bangku pendidikan hingga ke pentadbiran,” jelas beliau.

Juanda turut menekankan peranan UNIONS sebagai agensi utama yang memainkan peranan memperkukuh amalan integriti di Sarawak, termasuk melalui pelbagai program seperti Program Pengukuhan Integriti di UPMKB pada 2024 yang menjadi pemangkin kepada BIIS hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang usaha Kerajaan Sarawak yang konsisten membudayakan integriti, termasuk menerusi pelaksanaan Sarawak Ombudsman Ordinan 2023, yang memberi ruang kepada rakyat menyuarakan aduan terhadap mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan rakyat dan keyakinan pelabur, tetapi juga melahirkan kepimpinan masa depan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa,” ujarnya.

Beliau juga menggesa agar BIIS terus dianjurkan sebagai satu gerakan kolektif dan simbol komitmen rantau Borneo dalam menjadikan integriti sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama.

“Marilah kita bersama membina legasi integriti yang kukuh demi generasi akan datang dan menjadikan Sarawak sebagai pelopor agenda integriti serantau,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Jelajah Kayuhan Borneo dijangka semarak semangat patriotik dan gaya hidup sihat
Next: Yap calls for professionalism from Sarawak Metro in ART project implementation

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.