EKORAN situasi negara yang masih belum mengizinkan, Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) turut memuktamadkan keputusan untuk menangguhkan beberapa kursus ‘mega’ dalam perancangan untuk dilaksana iaitu Kursus Kejurulatihan dan Kursus Pengadil.
Presiden BIFA, Mohd. Zaifulfadillah Junaidi memberitahu, keputusan untuk menangguh sebarang kegiatan termasuk dua kursus mega berkenaan disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Kita menyedari akan situasi negara yang masih belum selamat dari dibayangi musibah virus berbahaya (Covid-19).
“Oleh yang demikian, kita mengambil langkah dengan menunda sebarang aktiviti termasuk dua kursus utama berkenaan,” jelas Zaifulfadillah ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Apa pun tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan meneruskan penganjuran kursus berkenaan ke tahun depan.
Jelas Zaifulfadillah, segalanya bergantung kepada keadaan malah pihaknya berharap permasalahan yang timbul akan berakhir secepat mungkin.
Dalam perkembangan sama, Zaifulfadillah turut menegaskan bahawa penganjuran Liga Bintulu 2020 turut ditangguh ekoran permasalahan yang sama.
Di samping beberapa kejohanan lain yang turut ditangguh untuk penganjurannya.
Oleh Faizal Bujang