KUCHING: Bidang bahasa selain bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga penting dan diperlukan untuk meneroka teknologi baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam usaha Sarawak mengubah landskap ekonomi hijaunya, ia memerlukan kepakaran dalam teknologi yang ada di mana bidang bahasa memainkan peranan penting untuk memahami konteks penciptaan dan penggunaan teknologi berkenaan.
“Itulah sebabnya di Sarawak, kita mempunyai dasar dwibahasa iaitu bahasa Inggeris serta bahasa kebangsaan kita, Bahasa Malaysia.
“Dasar ini membolehkan kita berhubung dengan dunia untuk memperoleh pengetahuan yang relevan sekali gus menggunakan pengetahuan tersebut untuk kita mengubah asas ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sini hari ini.
Menyentuh mengenai kepakaran dalam aliran STEM, Abang Johari berkata Sarawak sedang memanfaatkan kekuatan yang ada untuk mencari penyelesaian alternatif kepada bahan api fosil, dengan menggunakan tenaga yang dapat menangani perlepasan karbon.
“Dengan inisiatif ini, Sarawak memberi penekanan kepada disiplin STEM, pada masa sama kami ingin melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam teknologi.
“Hasilnya, Sarawak pada peringkat awal memperkenalkan apa yang saya panggil ekonomi digital, dengan memberi penekanan kepada teknologi sebagai pemangkin untuk menyesuaikan usaha kepelbagaian ekonomi kita ke arah ekonomi hijau,” katanya.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Skills dengan 14 syarikat dan agensi untuk mengadakan kerjasama dalam penerokaan teknologi hijau.
Turut diadakan ialah pertukaran MoU antara Kolej Universiti i-CATS bersama Yayasan Soelthan Moehammad Tsjafioeddin dan antara Institut Automotif dan Kimpalan Sarawak (AWISAR) bersama Prima Merdu Sdn Bhd.
Hadir sama, wakil Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapa’ee; Pengerusi Institusi Pembangunan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Adana Jed serta tetamu kehormat yang lain. EDISI UKAS