SPAOH: Kehadiran seekor biawak yang disifatkan sebesar alat pemadam api mencemaskan pemilik sebuah kedai di Kampung Bungin, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.25 malam berhubung kejadian berkenaan.
Susulan itu, Skuad Bravo APM Spaoh dengan kekuatan empat anggota segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap haiwan liar.
Setibanya di premis, anggota mendapati reptilia terbabit masih berada di dalam kedai.
Dengan menggunakan teknik serta peralatan yang bersesuaian, anggota APM berjaya menangkap biawak berkenaan dengan selamat menggunakan penyepit dan penjerut.
Haiwan liar itu kemudiannya dibawa ke PKOD Spaoh untuk tindakan selanjutnya.
Operasi Menangkap Haiwan Liar (MHL) berkenaan selesai sepenuhnya pada jam 8.14 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
APM Spaoh turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sekiranya berdepan dengan haiwan liar atau reptilia yang boleh membahayakan keselamatan.
Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman





