APABILA Sarawak semakin lantang bersuara menuntut dikembalikan hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), pelbagai dakwaan dilemparkan seolah-olah Sarawak tidak prihatin terhadap kepentingan negara, berniat menjatuhkan entiti nasional seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan kononnya ‘terlalu bersikap kewilayahan’.
Hakikatnya, jika segala janji 61 tahun lalu itu ditunaikan, keberangkalian perasaan itu mungkin tidak timbul. Jika pembangunan wilayah seimbang antara Borneo dan Tanah Melayu, mungkin persoalan ‘pilih kasih’ itu berkurangan atau tiada. Andai waktu pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Johor hingga ke Perlis sepanjang 847.7 kilometer yang siap pada 1994, dimulakan juga pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo 30 tahun lalu atau 15 tahun lalu, akan terasa tidak dipinggirkan.
Andai kesedaran awal timbul untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Bumi Kenyalang serta kawasan luar pantainya, sudah lama rakyat negeri ini tidak lagi menggunakan feri, kerana hasil itu boleh membina berbelas jambatan utama menyeberangi sungai.
Namun kita bersyukur, menjelang 2026 jika tiada aral melintang dan tiada lagi kerenah kontraktor, semua sekurang-kurangnya 10 jambatan utama dijangka siap – semuanya menggunakan dana kerajaan Sarawak, sekali gus mengakhiri episod penggunaan feri.
Itulah sebabnya, segala tindakan dilakukan kerajaan Sarawak sekarang cuma mahu menuntut janji, bukan merampas hak orang lain demi keadilan, kongsikan secara adil dan saksama hasil mahsul negeri, kerana setelah 61 tahun berkerajaan sendiri, masih banyak kelompongan dalam pembangunan sosioekonomi. Sarawak kaya hasil bumi tetapi tiada wang untuk membangunkan keperluan rakyat sehinggalah Alllahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan ‘mengetuk pintu’ Putrajaya untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 tetapi terhakis.
Hasilnya kini sudah mula menjelma dengan Sarawak mengenakan cukai SST ke atas produk petroleum dan gas, dan tidak lama lagi industri karbon selain kutipan cukai di udara (spektrum) ke atas syarikat telekomunikasi. Bila mengalir sahaja gas dan karbon dalam paip, akan dikenakan cukai, begitu juga minyak dan gas di luar pesisir Bumi Kenyalang, dalam jangkauan sejauh 200 batu nautika, bukan 12 batu nautika.
Selama ini, ketika semua orang bercakap pasal rangkaian telekomunikasi 5G, penduduk luar bandar dan pedalaman negeri ini masih terkapai-kapai mencari talian akses internet yang kadangkala masih bagaikan ditakok 2G, jauh sekali untuk menggapai sesuatu bercirikan kecerdasan buatan (AI) yang hanya mudah diakses di kawasan bandar besar.
Pelantar benua
Penjelasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada perhimpunan sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu pada malam Isnin lalu, membawa mesej seperti yang dibayangkan di atas.
Beliau memberi empat contoh utama seperti berikut:
- Arahan yang dibuat oleh Ratu Elizabeth atau Order in Council pada 1954 berkenaan persempadanan Sarawak menyatakan bahawa sempadan laut Sarawak dipanjangkan sehingga ke pelantar benua termasuk dasar laut dan di bawah dasar laut.
Inilah antara hak-hak yang dibawa oleh Sarawak ketika bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada 16 September 1963 yang tidak boleh diserahkan kepada pihak lain. Ia juga antara lapan perkara yang tidak boleh dirunding atau non-negotiable.
Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf bahawa wilayah bagi setiap negeri di Malaysia adalah seperti sebelum Hari Malaysia, iaitu 16 September 1963. Mana-mana undang-undang digubal yang mengubah sempadan negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri tersebut. Ini mengukuhkan lagi pendirian Sarawak mengenai hal-hal berkaitan sempadan ini adalah sesuatu yang tidak terbuka untuk dirunding, katanya.
- Berkenaan Kanun Tanah Sarawak, berkuatkuasa pada 1958 yang memberi Sarawak kuasa penuh untuk menguruskan apa-apa yang berada di bumi Sarawak merangkumi sumber-sumber di pelantar benua, di dasar laut dan di bawah dasar laut termasuk aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Hak perundangan mengenai tanah ini turut termaktub di bawah kuasa negeri melalui Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kata Abang Johari, sehingga kini Kanun Tanah Negara tidak terpakai di Sarawak kerana Sarawak sudah mempunyai undang-undang tanah sedia ada dan terus terpakai selepas penubuhan Malaysia.
- Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas sumber dan gas di luar pantai Sarawak
Sempadan laut
Selain itu, Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan laut hanya sejauh 12 batu nautika juga tidak dapat menidakkan hak Sarawak ke atas persempadanan lautnya yang merangkumi kawasan luar pantai dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika.
- Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak 1958 (OMO 1958) yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk mengurus dan membangunkan sumber minyak dan gasnya.
Undang-undang ini tidak pernah dimansuhkan dan juga terpakai selepas penubuhan Malaysia sehingga bila-bila masa. Atas sebab ini, Sarawak berkuasa penuh ke atas perlombongan minyak di daratan Sarawak dengan projek penggerudian pertama di kawasan Selatan Marudi yang dikendalikan oleh syarikat milik penuh kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Menurut Abang Johari, ekoran daripada ini kerajaan Sarawak mempunyai kuasa untuk menguruskan pengedaran gas atau sebagai ‘aggregator’ di Sarawak melalui pindaan kepada Ordinan Pengedaran Gas 2016. Pindaan ini telah berkuatkuasa mulai 1 Februari 2024. Kuasa ini melibatkan pengedaran di seluruh Sarawak sama ada di luar pantai atau di daratan. Aktiviti pengedaran gas ini bukanlah suatu perkara baharu kerana penyaluran gas untuk kegunaan domestik sudah berlaku di bawah Shell di Miri sebelum penubuhan Malaysia lagi.
“Pendek kata, sebagai sebuah wilayah berdaulat, Sarawak bercantum dengan wilayah-wilayah lain dengan membawa bersama semua aspek kedaulatan sebuah wilayah yang merangkumi ketua negeri, sistem kerajaan dan perundangan, persempadanan buminya yang jelas dan kependudukan yang juga jelas,” kata Premier Sarawak.
Berikutan itu, katanya, Sarawak tidak melepaskan hak-haknya apabila menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia selain sekarang ini tidak berniat menjatuhkan mana-mana entiti nasional seperti dakwaan pihak tertentu.
“Sebaliknya, semua hak Sarawak seperti yang terkandung dalam lunas undang-undang Sarawak sebelum Malaysia, akan kekal berkuatkuasa jika tidak dipinda di Parlimen dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, semua itu seperti kata Abang Johari bukan bermaksud Sarawak tidak prihatin terhadap kepentingan negara. “Janganlah lagi timbul keadaan seperti yang dinyatakan oleh mendiang Tun Jugah ‘Anang baka tebu, manis di pun tabar di ujung ” atau ‘Jangan seperti tebu, manis di pangkal, tawar di hujung’,” katanya.
Kita juga mahu manisnya tebu sampai ke hujung.
Apa diharap padi seberang,
Entah berbuah entahkan tidak;
Apa diharap politik sembang
Entah jujur entahkan tidak
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.