
Elon Musk (kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
WASHINGTON: Bilionair Elon Musk mengumumkan beliau akan meninggalkan peranannya dalam kerajaan Amerika Syarikat (AS), yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan Persekutuan.
Beliau membuat pengumuman itu di platform media sosialnya, X, tidak lama selepas berlaku perbezaan pendapat pertama yang ketara dengan Presiden AS, Donald Trump mengenai rang undang-undang (RUU) perbelanjaan utamanya.
“Ketika tempoh saya sebagai Kakitangan Kerajaan Khas berakhir, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump atas peluang untuk mengurangkan perbelanjaan yang membazir.
“Misi DOGE (Jabatan Kecekapan Kerajaan) hanya akan menjadi semakin kukuh dari semasa ke semasa apabila ia menjadi cara hidup dalam kerajaan,” tambahnya.
Tokoh teknologi kelahiran Afrika Selatan itu berkata RUU Trump akan meningkatkan defisit dan menjejaskan kerja DOGE, yang telah memecat puluhan ribu kakitangan.
Musk, yang sebelum ini sering berada di sisi Trump sebelum berundur untuk memberi tumpuan kepada perniagaan SpaceX dan Tesla miliknya, turut mengadu bahawa DOGE telah menjadi ‘kambing hitam’ bagi ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran.
“Saya kecewa melihat RUU perbelanjaan besar-besaran ini, yang sejujurnya meningkatkan defisit belanjawan, bukan mengurangkannya.
“Ia juga menjejaskan kerja yang sedang dilakukan oleh pasukan DOGE,” kata Musk dalam temu bual bersama CBS News, petikan yang disiarkan lewat Selasa.
RUU Trump yang digelar ‘One Big, Beautiful Bill Act’, yang diluluskan Dewan Perwakilan minggu lalu dan kini bergerak ke Senat, menawarkan potongan cukai besar-besaran dan pemotongan perbelanjaan dan menjadi tunjang agenda domestiknya.
Namun, pengkritik memberi amaran bahawa ia akan menjejaskan penjagaan kesihatan dan melonjakkan defisit negara sehingga AS$4 trilion dalam tempoh sedekad.
“RUU boleh jadi besar, atau boleh jadi cantik. Tapi saya tak pasti ia boleh jadi kedua-duanya. Itu pandangan peribadi saya,” kata Musk dalam temu bual yang akan disiarkan sepenuhnya pada Ahad ini.
Rumah Putih pula cuba meredakan spekulasi mengenai sebarang perbezaan pendapat berhubung perbelanjaan kerajaan AS, tanpa menyebut nama Musk secara langsung.
“RUU ‘Big Beautiful Bill’ Bukan RUU belanjawan tahunan,” kata Timbalan Ketua Staf Trump, Stephen Miller, di platform X milik Musk, selepas komen bilionair itu disiarkan.
Menurut Miller, semua pemotongan DOGE perlu dilakukan menerusi RUU berasingan yang menyasarkan birokrasi Persekutuan, selaras dengan peraturan Senat AS.
Namun, kenyataan Musk itu mencerminkan perpecahan jarang berlaku dengan presiden Republikan yang dibantu kembali ke tampuk kuasa, sebagai penderma terbesar kepada kempen pilihan raya Trump pada 2024.
Trump memberi tugas kepada Musk untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebagai ketua DOGE, tetapi selepas permulaan yang bersemangat, Musk mengumumkan pada akhir April bahawa beliau akan kembali memberi tumpuan kepada syarikatnya. – AFP