
TIDAK dapat dinafikan, pengangkutan udara telah menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang untuk memudahkan perjalanan jarak jauh atau ke destinasi yang sukar dicapai melalui laluan darat mahupun laut.
Fenomena ini mendorong pertumbuhan pesat syarikat penerbangan yang menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis penumpang.
Namun, setiap individu mempunyai keutamaan dan pertimbangan tersendiri sebelum membeli tiket penerbangan, walaupun terdapat pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan.
Bagi sesetengah penumpang, harga tiket yang berpatutan atau murah adalah faktor utama.
Mereka mungkin lebih cenderung memilih syarikat penerbangan bajet seperti AirAsia yang menawarkan tambang asas yang rendah, walaupun dengan kemudahan terhad.
Golongan ini mungkin terdiri daripada pelajar atau pekerja yang perlu pulang ke kampung halaman atau pelancong bajet yang ingin menjimatkan kos perjalanan.
Sebaliknya, bagi penumpang yang lebih mementingkan keselesaan seperti pelancong mewah atau ahli perniagaan, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh seperti Singapore Airlines atau Emirates mungkin menjadi pilihan utama.
Syarikat-syarikat ini menawarkan kemudahan tambahan seperti bagasi percuma, makanan mewah dan tempat duduk yang lebih luas bagi mewujudkan pengalaman perjalanan lebih selesa dan eksklusif.
Bagi penumpang yang kerap melakukan perjalanan pula, program kesetiaan sering menjadi tarikan utama.
Program seperti Enrich oleh Malaysia Airlines membolehkan penumpang mengumpul mata setiap kali mereka terbang yang kemudiannya boleh ditukar dengan tiket percuma, naik taraf kelas atau keistimewaan lain seperti akses ke lounge premium di lapangan terbang.
Program sebegini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada penumpang setia tetapi juga menggalakkan mereka untuk terus memilih syarikat penerbangan yang sama.

Namun, tidak semua penumpang mempunyai keutamaan yang sama.
Ada yang lebih mempertimbangkan reputasi syarikat penerbangan dari segi keselamatan dan ketepatan masa terutamanya bagi perjalanan perniagaan yang memerlukan jadual ketat.
Sebagai contoh, seorang eksekutif yang perlu menghadiri mesyuarat penting di luar negara mungkin lebih memilih syarikat penerbangan seperti Qatar Airways atau Japan Airlines yang terkenal dengan ketepatan masa dan rekod keselamatan yang baik.
Bagi mereka, kelewatan atau pembatalan penerbangan boleh menjejaskan jadual kerja dan menyebabkan kerugian kewangan yang besar.
Selain itu, keanjalan juga menjadi faktor penting bagi sesetengah penumpang terutamanya dalam situasi tidak menentu seperti pandemik atau bencana alam.
Pilihan untuk menukar atau membatalkan tiket tanpa dikenakan bayaran tinggi boleh menjadi penentu utama dalam pemilihan syarikat penerbangan.
Bagi penumpang yang sering menghadapi ketidakpastian, dasar fleksibel ini memberikan ketenangan fikiran dan mengurangkan risiko kerugian.
Bagi penumpang berkumpulan terutama yang ada disertai oleh anak-anak, mereka ini lebih cenderung untuk menggunakan syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan langsung tanpa perlu ada transit.
Hal ini lebih mudah untuk mereka kerana kurang tekanan dan lebih praktikal.
Namun, bagi kebanyakan penumpang, harga tiket yang rendah tetap menjadi pertimbangan utama.
Hal ini kerana kos perjalanan yang berpatutan membolehkan mereka memperuntukkan lebih banyak bajet untuk keperluan lain seperti penginapan, makanan atau aktiviti pelancongan.
Bagi perjalanan yang mengambil masa kurang dari dua jam misalnya, ramai penumpang mungkin tidak berasa perlu untuk membayar lebih hanya untuk mendapatkan keselesaan yang sebentar.
Penumpang yang ingin menjimatkan kos perjalanan, terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan.
Tempahan tiket lebih awal sering memberikan harga yang lebih murah berbanding tempahan saat akhir.
Kajian oleh Google Flights menunjukkan bahawa membuat tempahan lebih awal dapat membantu menjimatkan kos tambang.
Tempoh yang disyorkan untuk tempahan yang menjimatkan berbeza bergantung kepada destinasi dan musim perjalanan, namun tempahan sekurang-kurangnya 70 hari sebelum tarikh perjalanan boleh memberikan peluang untuk mendapatkan tambang yang lebih rendah.
Oleh itu, perancangan awal sangat penting dalam mendapatkan harga tiket yang lebih berpatutan.
Di samping itu, penumpang boleh menggunakan laman perbandingan harga seperti Skyscanner, Google Flights atau Kayak sebagai satu cara yang bijak untuk mendapatkan tiket dengan harga terbaik.
Laman-laman ini membolehkan penumpang membandingkan tambang dari pelbagai syarikat penerbangan dan mencari tawaran yang paling menjimatkan.
Pada masa sama, semasa melayari laman sesawang ini, penumpang boleh menggunakan mod incognito atau membersihkan cache penyemak imbas untuk mengelakkan kenaikan harga yang disebabkan oleh penjejakan data oleh laman tempahan.
Sesetengah laman web menaikkan harga tiket berdasarkan sejarah carian pengguna, jadi dengan langkah ini, penumpang berpeluang mendapatkan tawaran yang lebih baik.
Sebagai alternatif, penumpang boleh mengelakkan perjalanan semasa tempoh puncak seperti cuti sekolah dan musim perayaan.
Penerbangan pada hari biasa seperti Selasa atau Rabu biasanya lebih murah berbanding hujung minggu.
Promosi dan diskaun yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan juga boleh kerap dipantau bagi mendapatkan harga tiket lebih murah.
Banyak syarikat mengadakan jualan tiket secara berkala, terutamanya ketika musim perayaan atau pada waktu-waktu tertentu.
Banyak syarikat maka banyaklah tawaran yang disediakan.
Maka terpulanglah kepada kebijaksanaan penumpang untuk menilai dan mempertimbangkan apakah yang mereka inginkan daripada perjalanan udara ini.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.