
NEW YORK: Penyanyi Amerika Syarikat, Beyoncé kini bergelar bilionair, menurut majalah Forbes semalam, sekali gus menjadikannya hanya pemuzik kelima yang mencapai pencapaian bersejarah itu.
Penghibur berusia 44 tahun itu menyertai kelompok eksklusif yang turut merangkumi suaminya, penyanyi rap Jay-Z, selain Taylor Swift, Bruce Springsteen dan Rihanna, menurut penerbitan yang terkenal dengan penarafan individu terkaya dunia itu.
Beyoncé mencapai kejayaan tersebut selepas beberapa tahun mencatat pendapatan yang sangat lumayan.
Pada 2023, jelajah Renaissance World Tour beliau mencatat kutipan hampir AS$600 juta.
Beliau kemudiannya memperbaharui hala tuju muziknya pada 2024 menerusi album country pemenang Anugerah Grammy, Cowboy Carter, sebelum menganjurkan jelajah konsert dengan kutipan tertinggi dunia pada 2025.
Dengan menggabungkan pendapatan tersebut bersama hasil daripada katalog muzik serta pelbagai perjanjian lain, Forbes menganggarkan Beyoncé memperoleh AS$148 juta pada 2025 sebelum cukai, menjadikannya pemuzik ketiga dengan bayaran tertinggi di dunia.
Penerbitan itu bagaimanapun tidak memberikan anggaran lebih terperinci mengenai nilai bersih bekas anggota kumpulan Destiny’s Child itu, yang menubuhkan Parkwood Entertainment bagi mengurus kerjaya serta penerbitannya.
Forbes menyatakan bahawa walaupun Beyoncé telah mengembangkan empayar perniagaannya melalui pelbagai usaha termasuk jenama penjagaan rambut, label wiski dan rangkaian pakaian, beliau terus memperkukuh kedudukannya sebagai usahawan global.
Namun, sebahagian besar kekayaan peribadinya masih diperoleh daripada muzik, jelajah dunia serta penguasaan hak ke atas katalog lagu terdahulunya. – AFP