APA KHABAR… Mohammad Razi Sitam bersalaman dengan pemain sebelum aksi pertama Liga Betong bermula.
PENGANJURAN Liga Betong 2022 mampu dijadikan sebagai ‘kilang’ mengasah bakat pemain muda berkualiti dalam sukan bola sepak negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata ia dilihat platform terbaik bagi mencungkil bakat baharu dikalangan pemain tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut mengharapkan lebih ramai pemain muda berbakat menjadikan penganjuran liga tersebut untuk mengembangkan lagi potensi mereka dalam sukan nombor satu negara itu.
“Saya berharap dengan penganjuran Liga Betong ini diharapkan akan lebih ramai pemain muda berbakat muncul menerusi penganjuran ini, sekaligus misi untuk menjadikan bahagian Betong ini sebagai ‘kilang’ atau pengeluar pemain-pemain bola sepak muda berbakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berucap pada Majlis Perasmian Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Betong, petang semalam.
Razi berkata, pelbagai kemudahan sukan disediakan kerajaan kepada penggiat sukan sebagai satu kemudahan untuk mereka terus berlatih sekali gus memartabatkan bidang sukan ke peringkat lebih tinggi.
“Oleh itu, saya berharap pemain-pemain muda di bahagian Betong ini ambil ia sebagai satu peluang untuk pemain terus berjaya dan tersohor bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat nasional,” ujarnya.
Dalam aksi pembuka tirai semalam, Krian United berjaya menewaskan Freelance FC dengan jaringan 3-1.
Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Saif Jubaidi dan Presiden Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) Abang Suhordie Abang Zaini.
Sejumlah 11 pasukan akan berentap bagi memburu kejuaraan saingan Liga Betong 2022 dan Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022.
Oleh ADI SAFARMAN