Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Betong lokasi Rumah Terbuka, Perarakan dan Konsert Gawai Dayak 2026, 6 Jun depan
  • TEMPATAN

Betong lokasi Rumah Terbuka, Perarakan dan Konsert Gawai Dayak 2026, 6 Jun depan

Utusan Sarawak 7 hours ago
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan pada sidang media penganjuran Rumah Terbuka dan Perarakan Gawai Dayak anjuran Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Bahagian Betong dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Rumah Terbuka, Perarakan dan Konsert Gawai Dayak 2026 yang dijadual berlangsung meriah pada 6 Jun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan Gawai Dayak bukan sekadar perayaan selepas musim menuai, malah melambangkan semangat kesyukuran, perpaduan serta hospitaliti masyarakat Dayak yang menjadi kebanggaan Sarawak.

Menurut beliau, penganjuran acara tersebut di Betong memberi peluang terbaik untuk menonjolkan identiti budaya kawasan itu di samping membuka ruang kepada usahawan tempatan, penggiat seni dan komuniti setempat meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan.

“Pelancong hari ini bukan sahaja mahu melawat sesuatu tempat, tetapi mereka juga mahu merasai pengalaman budaya yang autentik. Sambutan Gawai Dayak memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami tradisi, nilai dan semangat komuniti masyarakat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Rumah Terbuka dan Perarakan Gawai Dayak anjuran Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, program tersebut dijangka menarik antara 2,000 hingga 5,000 pengunjung termasuk pemimpin kerajaan, pemain industri pelancongan, wakil persatuan komuniti, penduduk tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, acara itu akan dimulakan dengan perarakan Gawai pada sebelah pagi yang menampilkan kumpulan kebudayaan, kontinjen berhias serta komuniti setempat dengan persembahan pakaian dan warisan tradisional masyarakat Dayak.

“Pada sebelah petang, Rumah Terbuka Gawai Dayak akan berlangsung dari 5.00 petang hingga 10.00 malam sebelum diteruskan dengan Konsert Gawai bermula 10.00 malam hingga tengah malam yang menampilkan barisan artis tempatan,” katanya.

SIDANG MEDIA… Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada sidang media penganjuran Rumah Terbuka dan Perarakan Gawai Dayak anjuran Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Tambah beliau, konsert tersebut akan diadakan di Rumah Veriland, Engkeranji dan antara tarikan utama tahun ini ialah persembahan khas kolaborasi rentas Borneo yang menampilkan penyanyi terkenal dari Kalimantan, At Adau, bersama artis jemputan dari Sabah.

Selain acara utama, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti glamping (perkhemahan) dan berkelah yang dianjurkan di Tapak Perkhemahan Nanga Mujau oleh Borneo Glamping.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk kelas memasak pansuh tradisional, bengkel kraf tangan dan kebudayaan, serta pengalaman berasaskan alam semula jadi di sungai seperti aktiviti ‘river tubing’ terkawal, pendedahan asas mengenai arus sungai, tip kelangsungan hidup di luar serta ceramah pemuliharaan alam sekitar.

Dalam masa sama, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), program pelepasan ikan turut diadakan di Nanga Mujau bagi menyokong kelestarian ekosistem sungai tempatan.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menginap di rumah panjang moden atau berkhemah serta glamping, selain meneroka warisan Betong termasuk Rumah Panjang Samu yang berusia lebih 102 tahun, Rumah Panjang Penom berusia 100 tahun serta Ladang Lada Batu Lintang yang mempamerkan warisan pertanian Sarawak.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan tersebut dan merasai sendiri keunikan budaya Gawai Dayak di Betong pada 6 Jun depan.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 11,900 petugas keselamatan di Sarawak terima Pek Makanan Sumbangsih Raya 2026
Next: Bayaran SKAS dijangka dikreditkan sebelum Hari Raya – Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.