Betong bakal berubah wajah menerusi lonjakan infrastruktur

Facebook
WhatsApp
UCAPAN... Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini. Foto UKAS

BETONG: Betong bakal menyaksikan perubahan besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan terutama jaringan jalan raya, jambatan dan kemudahan asas yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan pusat ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur yang sedang dan akan dilaksanakan akan memberi kesan besar kepada mobiliti rakyat serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini perjalanan antara kawasan seperti Pusa dan Beladin mengambil masa yang panjang, namun keadaan itu berubah dengan adanya kemudahan perhubungan yang lebih baik.

RAKAM KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam gambar bersama Timbalan-Timbalan Premier merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan pemimpin Majlis Tertinggi (MT) parti, pemuda, wanita dan belia pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini. Foto UKAS

“Dulu panjang kita nak pergi ke Beladin dari Pusa, kini sekejap sudah sampai ke Beladin. Tidak lama lagi Simanggang dengan Betong hanya 20 minit,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini.

Abang Johari berkata, pembangunan jaringan jalan raya dari Lingga, Sri Aman, Betong hingga ke Roban dan seterusnya Sarikei akan memperkukuhkan hubungan antara kawasan luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya, pembinaan beberapa jambatan utama termasuk di kawasan Batang Lupar turut menjadi bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

SEMANGAT PERPADUAN… Perwakilan mengibarkan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini. Foto UKAS

“Jambatan kita di Batang Lupar hampir RM1 bilion. Belum lagi Batang Lupar kedua, Krian dan Saribas. Ini pembangunan yang kita buat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap peningkatan kapasiti bekalan elektrik di Betong berikutan perubahan gaya hidup penduduk yang semakin bergantung kepada penggunaan peralatan elektrik moden.

“Rumah orang kampung sekarang bukan peti ais sahaja, mesin basuh pun sudah automatik. Semua sudah berubah menggunakan elektronik, maka penggunaan elektrik akan bertambah,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM180 juta bagi menaik taraf kapasiti bekalan elektrik di kawasan Betong bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.

Beliau yakin pembangunan berterusan itu akan menjadikan Betong sebuah kawasan yang lebih maju dari aspek ekonomi dan sosial, selari dengan sasaran Sarawak untuk menjadi wilayah termaju di Malaysia menjelang 2030.

Oleh Afiq Sallehi