KETUA jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, mahu pasukan bimbingannya tidak mensia-siakan peluang untuk menamatkan rekod buruk menentang Vietnam, apabila kedua-dua pasukan bertembung tengah malam, Jumaat ini.
Aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, akan menjadi pertemuan kelima kedua-dua pasukan sejak Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih, dengan Vietnam memenangi tiga daripada empat aksi terakhir, dan sekali seri.
Rekod pertemuan itu disifatkan Cheng Hoe sudah cukup untuk memberikan pengajaran berguna kepada barisan pemainnya, supaya tampil lebih bersedia berdepan cabaran skuad Naga Emas kendalian jurulatih Park Hang-seo kali ini.
Pengendali berusia 53 tahun itu turut menggesa, setiap pemain khususnya jentera serangan pasukannya untuk tampil lebih berkesan di depan gawang, dengan tidak melepaskan peluang untuk meledak jaringan.
“Memang kita tahu dalam empat perlawanan terakhir pasukan tidak dapat kemenangan, tetapi saya rasa pemain pun sudah tahu cara atau corak permainan Vietnam. Kita mesti mengambil setiap peluang yang berada di depan mata,” katanya.
“Setiap kali bertemu Vietnam kita juga dapat banyak peluang jaringkan gol, sebab itu kita perlu fokus terus mencari peluang-peluang terbaik dan menjaringkan gol, apabila berada di hadapan gol,” katanya pada sidang media secara dalam talian sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, semalam.
Kejayaan menewaskan Vietnam akan menghidupkan peluang skuad kebangsaan dalam misi menamatkan saingan Kumpulan G di kedudukan dua teratas, bagi meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Sementara itu, Cheng Hoe mengakui corak permainan Vietnam tidak banyak berubah, selepas menyaksikan skuad bimbingan Hang-seo itu membelasah Indonesia 4-0 pada aksi kumpulan di Stadium Al Maktoum, awal pagi kelmarin..
Jelasnya, corak permainan digunakan Vietnam ketika bertahan mahupun menyerang pada perlawanan itu adalah taktikal biasa digunakan Hang-seo, sekali gus mengakui pasukannya tidak boleh memberikan ruang yang banyak kepada pihak lawan.
“Kita tahu kekuatan Vietnam adalah dari segi kelajuan, berpasukan serta semangat juang tinggi, dan ia menyebabkan kita perlu berjaga-jaga dengan serangan balas mereka yang pantas. Kita juga kena bekerja keras ketika menyerang supaya tidak membuka ruang yang banyak,” jelasnya.
Cheng Hoe berkata, ketiadaan tonggak jentera serangan Vietnam Nguyen Quang Hai pada pertembungan itu akibat digantung perlawanan, boleh dianggap sebagai khabar gembira buat pasukan negara, namun percaya Hang-seo pasti memiliki beberapa alternatif lain.
Bagaimanapun, beliau berkata sandaran untuk meraih kemenangan ke atas Vietnam perlu diletakkan sepenuhnya kepada barisan anak buahnya, sambil berharap setiap pemain yang bakal mengisi kesebelasan utama pasukan dapat membalas kepercayaan diberikan, bagi meraih keputusan positif.
“Memang setiap jurulatih ingin mencapai sesuatu apabila bertemu pasukan Vietnam yang dikatakan mempunyai pertahanan terbaik dalam kumpulan, akhirnya yang penting kalau kita ada keyakinan dan kepercayaan kepada setiap individu diturunkan, kita boleh dapat keputusan positif,” katanya.
Selepas enam perlawanan, Vietnam mendahului saingan Kumpulan G dengan mengumpul 14 mata, diikuti UAE kedua (12 mata), Thailand (sembilan mata), Malaysia (sembilan mata) dan Indonesia tercorot dengan mengutip satu mata.-Bernama