Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Bersih dosa dengan ujian
  • RENCANA

Bersih dosa dengan ujian

Utusan Sarawak 1 day ago
JEMAAH haji melakukan ibadah melontar Jamrah Kubra baru-baru inidi Mina, bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah membawa maksud yang lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri dan penolakan sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim. Foto BERNAMA

HAKIKAT dan realiti seorang hamba yang hidup di dunia ini, tidak akan terlepas dengan pelbagai ujian, fitnah mahupun musibah. Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah kehidupan seorang hamba.

Ini kerana Allah SWT sendiri yang menyatakan bahawa dia akan menguji kita dengan sesuatu, sama ada yang kita sukai ataupun sebaliknya.

Demikianlah, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran: “Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.” (Al-Anbiya’ 21)

 Malah, apa yang ditimpakan ke atas seorang hamba berupa ujian dapat menghapus setiap kesalahan dan dosa. Perkara ini merupakan sebuah kenikmatan untuk seorang hamba.

Hal ini bersesuaian dengan hadis daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa sesuatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (riwayat Bukhari)

Oleh itu, sebagai seorang hamba kita kena memahami yang mana, setiap musibah yang menimpa, kesusahan mahupun sakit mendapat ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Yakinlah, Allah SWT tidak akan memberi ujian di luar daripada kemampuan kita. Malah, bersangka baiklah di setiap ujian yang kita terima, kerana di sebaliknya ada hikmah serta kebaikan. 

TANDA CINTA ALLAH SWT

Setiap ujian berupa sakit, harta dan musibah merupakan satu bentuk ujian daripada Allah SWT.

Harus kita ketahui, bahawa setiap yang datang bukanlah bererti tanda kemurkaan dari Allah SWT bahkan ia adalah tanda cinta dan kasih dari-Nya.

Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya ganjaran tergantung dari besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada suatu kaum Dia akan menguji mereka, barang siapa yang redha maka baginya keredhaan Allah SWT, namun barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah SWT.” (riwayat Imam Tirmizi)

Demikian itu, Allah SWT menjelaskan lagi dalam al-Quran surah al-Ankabut ayat 2 iaitu firman-Nya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?.”

Justru itu, tugas kita sebagai seorang hamba hendaklah reda pada ketentuan-Nya, sehingga ujian tersebut akan membawa kebaikan kepada diri kita dan bukan membawa kemurkaan-Nya.  

SABAR DAN SENTIASA MENSYUKURI 

Orang yang beriman melihat ujian itu sebagai pintu rahmat yang akan mendekatkannya dengan syurga Allah SWT, kerana itu balasan bagi orang yang bersabar adalah syurga.

Demikianlah kita dianjurkan melihat sesuatu ujian tersebut dengan sangkaan yang baik. Walaupun sabar tersebut begitu pahit akan tetapi penghujungnya adalah indah dan manis kerana ganjaran disebalik sabar adalah syurga yang abadi.

Firman Allah SWT: “Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah 216)

Perkara ini ada dijelaskan dalam hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika Allah SWT mencintai seorang hamba, maka dia akan mengujinya dengan ujian yang tidak ada ubatnya. Jika dia sabar, maka Allah SWT memilihnya dan jika dia reda, maka Allah SWT menjadikannya pilihan.”

Justru itu, jika ditimpa dengan ujian perlu diingati untuk sentiasa bersangka baik, memperbanyakkan doa, bertawakal dan bersabar. 

Kisah Abu Qilabah

BANYAK hikmah yang dapat kita ambil iktibar, salah satunya dari kisah Abu Qilabah sahabat Nabi yang mengajarkan tentang erti bersyukur.

Nama lengkap beliau ialah ‘Abdullah bin Zaid al Jarmi dan beliau wafat di Negeri Syam pada 104 Hijriah. Kisahnya begini, suatu hari ada seseorang sedang bermusafir dari satu kota ke kota lain dengan menunggang kuda.

Setelah dia kehabisan bekal, dia melihat ada satu khemah di padang pasir yang luar itu. Kemudian, dia memasuki dan melihat pemandangan yang memilukan di dalam khemah tersebut. Orang yang berbaring inilah Abu Qilabah. Lalu, pemuda tersebut bertegur dengannya.

Pemuda: “Saya musafir yang kebetulan lalu di sini dan memerlukan makanan dan minuman. Saya kehabisan bekalan.”

Abu Qilabah: “Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah yang menyempurnakan nikmat-Nya kepada saya.”

Pemuda: “Wahai tuan, apa yang membuat kamu bersyukur kepada Allah? Apa yang kamu syukuri, nikmat apa yang ada?”

Abu Qilabah: “Saya boleh mengucapkan kalimah ini sahaja sudah menutupi semua kekurangan saya ini, sebuah nikmat yang tidak terhingga. Alhamdulillah atas semuanya.”

Abu Qilabah meminta tolong kepada pemuda tersebut untuk mencari anak lelakinya yang sudah tiga hari tidak pulang. Sememangnya hanya beliau dan anaknya sahaja yang berada di padang pasir sebelum ni.

Kemudian, pemuda tersebut melihat ada jenazah manusia dikerumuni oleh singa. Dia bingung bagaimana cara untuk mengatakan hal sebenar dan pemuda itu pun meminta Abu Qilabah menceritakan kisah Nabi Ayub.  

Abu Qilabah mengetahui dan tersenyum lalu mengatakan: “Alhamdulillah, anak saya telah mendahului saya ke syurga.” Tidak lama setelah itu, Abu Qilabah pun meninggal dunia.

Menurut agama, anak yang soleh itu seseorang yang menjaga ibadahnya kepada Allah SWT dan berbakti kepada orang tuanya akan dikurniakan ganjaran syurga.

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Pengantin realisasi impian sarung busana kulit pokok, tradisi Orang Asli Jakun
Next: Sos kacang istimewa, tarikan utama Klasik Burger BBM Stall

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.