OYA: Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM349,361 bagi memperkukuh kesiapsiagaan pangkalan hadapan dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut yang bakal tiba.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata dana ini akan digunakan untuk membeli bekalan makanan kering dan air bersih untuk tujuh bahagian utama iaitu Kuching, Sri Aman, Betong, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri.
“Peruntukan ini diluluskan oleh Kabinet untuk memastikan bantuan seperti makanan, pakaian serta wang saku dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian Latihan Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2024 Zon Tengah oleh Agensi Pertahanan Malaysia (APM) di Tapak Kaul Oya di sini hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut memaklumkan bahawa sebanyak 31 pangkalan hadapan telah disediakan di seluruh negeri.
Katanya, pangkalan ini dilengkapi dengan bekalan makanan asas yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan terputusnya hubungan akibat banjir, terutama di kawasan yang sukar diakses seperti di Nanga Baoh, Dalat.
“Pangkalan hadapan ini bertujuan untuk menyediakan bekalan bagi kawasan yang hanya boleh diakses melalui laut atau sungai, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada penduduk terjejas semasa musim monsun.
“Makanan di pangkalan-pangkalan hadapan telah dipastikan berada dalam keadaan baik dan tidak melebihi tarikh luput.
“Keseluruhan peruntukan bagi makanan dan logistik di pangkalan hadapan serta pusat pemindahan adalah mencukupi,” tambahnya.
Di samping itu, katanya, latihan untuk anggota APM serta petugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut diadakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka, serta melibatkan komuniti dalam memahami prosedur operasi standard (SOP) bencana.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti supaya tidak panik dan mengikuti langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan, termasuk melaporkan kejadian kepada jawatankuasa bencana dan mengetahui waktu yang sesuai untuk berpindah.
Hadir sama Pengarah APM Sarawak Mokhtar Samad.