KABONG: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing mendedahkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkir janji.
Malah katanya, calon BERSATU dibawah gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berdolak-dalik.
Beliau berkata, persetujuan awal antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan BERSATU sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu adalah untuk Ali Biju melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian dan kemudian beliau boleh bertanding kerusi Parlimen Saratok atas tiket PDP.
“GPS dan BERSATU merupakan sekutu baik pada PRN-12 yang lalu, tetapi kini bertembung secara langsung di tiga kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya ingin menjelaskan kerjasama politik antara PDP dan BERSATU untuk PRU-15 adalah berdasarkan strategi ketika menghadapi PRN-12 sebelum ini, iaitu kerusi DUN Krian diberikan kepada PDP manakala kerusi Parlimen Saratok diberikan kepada Datuk Ali Biju untuk bertanding di bawah PDP.
“Cadangan kerjasama bagi menghadapi PRU-15 kali ini mendapat respons positif daripada Ali Biju pada masa itu, malah menyarungkan baju PDP di hadapan khalayak ramai.
“Bagaimanapun, dia mengubah pendirian selepas pulang dari Kuala Lumpur dan kedudukannya itu tidak kekal bersama PDP walaupun ada usaha untuk berunding sebelum itu.
“Saya difahamkan beliau menerima nasihat daripada pemimpin tertinggi partinya supaya menolak cadangan itu sebagai usaha untuk menggulingkan PDP,” katanya pada kempen bersama calon GPS-PDP, Giendam Jonathan Tait bagi kerusi Parlimen Saratok di Rumah Brues Gomes, Sungai Antu, di sini petang semalam.
PDP adalah salah satu daripada empat parti komponen dalam gabungan GPS bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Selain BERSATU, PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merangkumi PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Selain Ali Biju, dua lagi calon bertanding atas tiket PN-BERSATU ialah Jugah Muyang yang mempertahan kerusi Lubok Antu dan Duke Janteng mencabar Tiong di Parlimen Bintulu.
Tiong berkata, kerusi Parlimen Saratok secara tradisinya milik PDP sejak dari dahulu lagi.
Katanya, tiada istilah kepada calon parti lain bertanding di kerusi ini melainkan daripada PDP atau wakil GPS dan mana-mana parti lain yang menghantar calon mereka adalah lawan kepada GPS.
“Situasi inilah berlaku kepada penyandang kerusi Parlimen Saratok (Ali Biju) yang menyifatkan kita mungkir janji.
“Beliau tidak peduli dengan tawaran kita sehingga PRN-15 ini, malah beliau lebih selesa memilih parti dari Semenanjung Malaysia dan menjadi lawan kepada GPS,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat di Parlimen Saratok agar lebih peka dan mengambil serius terhadap perkara ini sebelum mereka terpengaruh dengan dakyah palsu lawan.
“Golongan ini sudah terbiasa dan terbawa-bawa dengan amalan politik dari Semenanjung Malaysia yang tidak relevan di Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Tiong berharap rakyat di Parlimen Saratok memberi sokongan padu kepada calon GPS Parlimen Saratok, Giendam Jonathan Tait memenangi kerusi ini pada PRU15.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohd Duri, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir dan ADUN Krian Friday Belik.
Oleh ADI SAFARMAN