
SEORANG warga Malaysia yang bekerja selepas usia 60 tahun di sebuah universiti di Amerika Syarikat mencatatkan pengalamannya dengan cabaran menggalas tanggungjawab pada usia begitu.
“Cabaran? Tenaga tak sama macam dulu, teknologi pula makin pantas berubah. Tapi pengalaman kita jadi aset besar – boleh jadi mentor, kongsi kebijaksanaan, dan terus menyumbang.
“Kadangkala orang di luar sana fikir kita patut undur untuk beri ruang pada generasi muda. Hakikatnya, orang muda bawa idea segar, kita pula bawa pandangan luas. Bila digabungkan, hasilnya lebih hebat,” katanya.
Itu antara pendapat dicungkilkan melalui media sosial berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen, pada 31 Julai lepas dengan mengumumkan bahawa dasar umur persaraan akan dikaji semula sejajar dengan peralihan demografi Malaysia ke arah negara tua.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kemudian dilaporkan berkata kajian mendalam mengenai cadangan itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan diambil.
Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan kakitangan kerajaan di Malaysia daripada 60 kepada 65 tahun itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Ada yang menyambut baik dengan harapan dapat terus menyumbang kepada negara, manakala sebahagian lagi khuatir ia mungkin menutup peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Persoalannya, apakah kita benar-benar bersedia untuk mengikut jejak negara-negara lain yang telah lama menetapkan umur persaraan lebih tinggi?
Jika ditelusuri di peringkat global, umur persaraan berbeza-beza bergantung kepada perundangan, dasar sosial, ekonomi dan kesihatan awam sesebuah negara.
Berdasarkan data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) seperti dilaporkan Bernama, majoriti negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat menetapkan umur persaraan rasmi sekitar 65 tahun.
TREND GLOBAL
Malah di beberapa negara seperti Iceland dan Norway, umur persaraan fleksibel dan boleh dilanjutkan sehingga 67 tahun, bergantung kepada kesihatan dan kemampuan individu.
Dalam kalangan negara ASEAN pula, Malaysia kini berada di peringkat pertengahan. Thailand menetapkan umur persaraan pada 60 tahun, Indonesia 58 tahun (dengan rancangan untuk naik ke 65 secara berperingkat sejak zaman pemerintahan Presiden Joko Widodo).
Singapura pula telah mula menaikkan umur persaraan wajib kepada 63 tahun pada 2022 dan akan meningkat lagi kepada 65 menjelang 2030.

Melihat kepada trend ini, Malaysia bukanlah perlu tergesa-gesa jika ingin mempertimbangkan had umur persaraan kepada 65 tahun.
Bagi golongan yang kelihatan menyokong kenaikan had umur persaraan ini, pada mereka usia 60 kini bukan lagi dianggap ‘tua’ dari sudut keupayaan bekerja.
Bagi golongan muda pula, harapan mereka untuk kenaikan pangkat mungkin tersekat selain pekerjaan zaman sekarang lebih cenderung kepada dunia internet seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Dengan ledakan teknologi seperti AI memang memerlukan kehadiran tenaga muda yang cekap untuk menimba pengalaman tetapi pengekalan pekerja berusia mungkin menjadi satu halangan ke arah itu dalam dunia yang semakin canggih.
Pada 18 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan sebagai berkata bahawa wujud keperluan dasar bagi menaikkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun bagi sektor swasta dan juga awam di negara ini.
Tetapi apabila menyingkap komen netizen merata tempat di media sosial baru-baru ini, majoriti tidak menyokong cadangan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.
Apabila Malaysia menaikkan usia persaraan minimum dari 55 kepada 60 tahun pada 2012, kebanyakan mereka yang bersuara sama ada bersetuju atau tidak, adalah pihak kesatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
SUARA WARGANET
Ini kerana ketika itu, ‘Jabatan Nitizen’ belum begitu ketara wujud di media sosial berbanding sekarang, maka perdebatan pada masa itu agak kurang di media sosial.
Bagaimanapun, sejauh mana kerajaan sekarang mempertimbangkan bantahan warganet, tidak pasti lagi kerana cadangan itu masih di peringkat kajian.
Ada yang berpendapat supaya kenaikan itu tidak dibuat secara menyeluruh, sebaliknya mengikut sektor pekerjaan.

“Pekerja berusia memang banyak pengalaman, tetapi apabila mereka terus berada dalam sektor terlalu lama, ia menyempitkan peluang untuk tenaga muda masuk (bekerja) dan menyumbang,” kata seorang warganet.
Tetapi menurut Dr Zaliha, keperluan untuk menaikkan umur persaraan itu didapati hasil Rangka Tindakan Penuaan Nasional yang dijalankan di bawah Kementerian Ekonomi untuk menaikkan umur persaraan.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mahu terburu-buru dalam penetapan hal terbabit dan sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung aspek berkenaan.
“Kajian itu merangkumi aspek kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat pegawai muda dan implikasi fiskal jangka pendek serta panjang.
“Umur persaraan kini masih lagi kekal di usia 60 tahun sebagaimana termaktub dalam Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Akta 239),” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Pengarah Urusan IM Possible Solutions Sdn Bhd Amir Isyam Abdul Rahim pula berkata Malaysia perlu melaksanakan model persaraan berfasa dan menguatkuasakan pelan penggantian sebelum meningkatkan umur persaraan.
Katanya, peningkatan umur persaraan tidak dapat dielakkan berikutan demografi negara yang semakin tua dan jangka hayat lebih panjang namun memberikan amaran trend tersebut boleh memburukkan lagi kemerosotan pendapatan, penyempitan laluan kerjaya dan penghijrahan cendekiawan, tanpa dasar yang sewajarnya.
“Umur persaraan perlu ditingkatkan, jika tidak masyarakat, keluarga dan kerajaan akan terbeban jika warga emas tidak dapat menyara diri sendiri. Tetapi ini memerlukan pendekatan berfasa,” katanya pada program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV baru-baru ini.
Amir Isyam mencadangkan pekerja yang lebih berusia dibenarkan untuk kekal dalam tenaga kerja tetapi beralih keluar daripada peranan kepimpinan tertinggi selain syarikat perlu melaksanakan perancangan penggantian berstruktur.
“Ya, tingkatkan umur persaraan, tetapi syarikat diwajibkan untuk mewujudkan peluang. Warga emas boleh kekal, tetapi bukan sebagai pengarah, eksekutif kanan tertinggi (C-suite) atau ketua jabatan,” katanya.
Beliau berkata dasar sedemikian akan membolehkan syarikat mengekalkan pengetahuan dalam organisasi dan bimbingan daripada petugas senior sambil mewujudkan ruang untuk pekerja lebih muda memajukan kerjaya mereka.
Amir Isyam mengingatkan bahawa tanpa pembaharuan itu, golongan muda Malaysia akan terus mengintai peluang di luar negara.
“Jika peluang saya untuk naik (dalam kerjaya) disekat, lebih baik saya pergi ke tempat lain yang menghargai saya. Dalam pasaran global hari ini, tempat itu mungkin bukan Malaysia,” katanya.
Apapun, terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan terbaik untuk sektor pekerjaan negara – kekalkan umur bersara 60 tahun seperti sekarang atau dilanjutkan hingga 65 tahun.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak