ROBAN: Selepas 36 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Mudong, Lumpoh Entamin, diraikan sempena persaraannya dengan penghargaan atas jasa dan sumbangannya dalam bidang pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata persaraan Lumpoh merupakan satu pencapaian membanggakan yang memperlihatkan kesihatan baik serta rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang kerjayanya.
Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Lumpoh atas persaraan tersebut, selain menyifatkan sumbangan beliau dalam mendidik generasi serta membentuk modal insan amat bermakna kepada masyarakat dan Sarawak.
“Bagi pihak masyarakat tempatan, saya juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas sumbangan, jasa dan komitmen beliau dalam mendidik serta membantu pembentukan sumber manusia dan modal insan bagi Sarawak,” katanya.
Friday berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam sempena persaraan Guru Besar SK Mudong itu di sini, malam tadi.
Menurutnya, pengalaman luas yang dimiliki Lumpoh selepas lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam wajar terus dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat setempat.
“Saya menggesa agar beliau terus aktif dan membantu dalam pembangunan masyarakat, khasnya di Saratok serta Krian, dengan berperanan sebagai pemimpin masyarakat berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang ada,” katanya.
Lumpoh menamatkan perkhidmatannya sebagai Guru Besar SK Mudong selepas berkhidmat di sekolah berkenaan selama lima tahun lapan bulan.
Tempoh tersebut melengkapkan perjalanan panjang beliau dalam sektor awam selama 36 tahun, khususnya dalam bidang pendidikan yang menyaksikan beliau mencurahkan tenaga dan pengalaman dalam mendidik generasi.
Friday turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Lumpoh sambil mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik serta terus aktif menyumbang kepada masyarakat selepas bersara.
Majlis berkenaan turut dihadiri ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin; Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom; Yang Dipertua PIBG, Stanley Timban; barisan guru, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman





