SIMANGGANG: Penularan Covid-19 tidak menghalang Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Simanggang untuk terus membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik berkenaan.
Ia terbukti apabila PMA Chee Chuan Khor Simanggang bertindak mengadakan Progam Sejambak Kasih dalam skala kecil bagi menyalur bantuan bakul makanan kepada 300 penerima di bangunan pertubuhan itu atau Rumah Kuning, Jalan Bayu pada Ahad lepas.
Menerusi program berkenaan, PMA Chee Chuan Khor telah menyerahkan bakul makanan kepada 10 penerima dengan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis diberi penghormatan untuk melakukan simbolik penyerahan bantuan itu.
Presidennya, Temenggung Kueh Aik Seng ketika ditemui berkata Program Sejambak Kasih kali ini tidak dapat melibatkan kehadiran ramai penerima disebabkan oleh pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.
Katanya program ini hanya melibatkan kehadiran 10 penerima dengan baki bakul makanan ini nanti akan diserah kepada para penerima mengikut kaedah yang ditentukan kelak demi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Pemberian bakul makanan ini adalah merupakan salah satu aktiviti amal yang dilaksana oleh PMA Chee Chuan Khor Simanggang bagi membantu rakyat sepanjang tempoh sukar penularan pandemik Covid-19.
“Kita berharap agar pertubuhan-pertubuhan di Sri Aman dapat melakukan kerja amal seperti ini agar kita dapat membantu agensi kerajaan mengurangkan beban hidup rakyat yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.
Program berkenaan diakhiri dengan penyerahan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 masing-masing kepada Persatuan Soon Heng Simanggang dan PMA Chee Chuan Khor Simanggang oleh Harden.
Hadir sama bagi menjayakan program tersebut adalah Penolong Setiausaha PMA Che Chuan Khor Simanggang, Goh Kaw Sze.
Oleh VALENTINE NGUMBANG