
BINTULU: Sebuah bot rekreasi memancing yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu dalam rondaan yang dilakukan pada pagi tadi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot tersebut dikesan sekitar 9.50 pagi di kedudukan 4.3 batu nautika utara Kuala Kemena semasa pasukan rondaan APMM melaksanakan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen sah termasuk lesen bot.
“Bot itu dikendalikan oleh seorang kru lelaki warga tempatan berusia 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bot tersebut disyaki melanggar peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Bot 1953 kerana gagal mempamerkan dan mengemukakan dokumen serta lesen yang sah. Jika disabit kesalahan, bot dan pengendali boleh dikenakan denda atau kompaun.
Bot bersama kru berkenaan seterusnya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat APMM.
Dalam kenyataan itu, Suffian turut menasihatkan komuniti maritim, terutamanya pengusaha bot rekreasi dan nelayan, untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memastikan semua dokumen berkaitan bot adalah lengkap dan sah sebelum beroperasi di laut.
“Pemilik dan pengendali bot perlu memberi perhatian serius terhadap pematuhan undang-undang dan keselamatan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” tegasnya.
Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086314254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082432544) untuk tindakan segera.
Oleh Carolyne Utih