Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Bermula sekadar hobi, kini jadi identiti: Kisah Danny dan Sulaman Keringkam
  • INSPIRASI

Bermula sekadar hobi, kini jadi identiti: Kisah Danny dan Sulaman Keringkam

Utusan Sarawak 4 weeks ago
KREATIF… Danny Zulkifli, pengasas jenama D Keringkam menunjukkan kemahiran menyulam keringkam.

KUCHING: Bermula sekadar hobi yang dipelajari daripada rakan lebih sedekad lalu, seni Sulaman Keringkam kini menjadi sumber rezeki utama serta identiti perniagaan buat Danny Zulkifli, pengasas jenama D Keringkam.

Pada awalnya dilakukan tanpa perancangan rapi, akhirnya berkembang menjadi satu penglibatan serius dalam industri fesyen dan kraf tangan tempatan Sarawak.

Menurut Danny, minat terhadap seni sulam tradisional Melayu Sarawak itu tercetus secara spontan. Pada peringkat awal, beliau hanya melihatnya sebagai satu aktiviti mengisi masa lapang.

DANNY menyifatkan seni kreatif sebagai satu warisan memiliki kehalusan, ketelitian dan nilai estetika yang tinggi.

Namun, seiring dengan pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, minat tersebut semakin mendalam dan membuka laluan ke dunia keusahawanan.

“Pada awalnya saya belajar sekadar hobi, tetapi lama-kelamaan minat itu membawa saya ke dunia perniagaan,” katanya.

Mengulas tentang makna Sulaman Keringkam secara peribadi, Danny menyifatkan seni tersebut sebagai satu warisan yang memiliki kehalusan, ketelitian dan nilai estetika yang tinggi.

Keindahan sulaman benang emas dan perak pada kain nipis menjadikan keringkam unik dan sukar ditandingi oleh seni tekstil lain.

DANNY diiktiraf sebagai penerima anugerah Inovatif Terbaik Untuk Sulaman & Hiasan di Hasanah Anugerah Benang Emas 2024 oleh Yayasan Hasanah.

Walaupun kebanyakan tudung keringkam diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang, beliau menjelaskan bahawa kemahiran menyulam dipelajarinya secara kendiri.

Pengalaman membesar di perkampungan Melayu Sarawak yang kaya dengan adat resam dan tradisi turut mempengaruhi kecintaannya terhadap seni warisan.

Menurut Danny, persekitaran tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk jati dirinya serta mendorong beliau untuk mendalami Sulaman Keringkam dengan lebih serius.

“Persekitaran itulah yang membuatkan saya lebih menghargai seni tradisional dan berusaha untuk memeliharanya,” ujarnya.

SULAMAN keringkam rekaan Danny diperagakan oleh Biro Peniagawati Chapter Sarawak menerusi alunan piano Sharnaz Saberi dan nyanyian Dayangku Norhasiba Awang Tambi membuka tirai persembahan menerusi lagu Puteri Sarawak.

Dari segi penghasilan, Danny menjelaskan bahawa proses menghasilkan Sulaman Keringkam bukanlah mudah. Ia memerlukan ketelitian tinggi, kesabaran serta kemahiran mengira urat benang bagi membentuk motif yang seimbang dan kemas.

Bergantung kepada tahap kerumitan corak, sesuatu hasil sulaman boleh mengambil masa antara seminggu hingga beberapa bulan untuk disiapkan.

ANGGUN… Sharnaz Saberi tampil dengan busana dan tudung bermotifkan Sulaman Keringkam jenama D Keringkam.

Antara bahan utama yang digunakan termasuk kain kassa rubia serta benang keringkam emas dan perak.

Jenama D Keringkam mula beroperasi secara rasmi pada 2015 apabila minat yang dipupuk sekian lama bertukar menjadi perniagaan sepenuh masa.

Sehingga kini, jenama tersebut kekal aktif menghasilkan rekaan sulaman keringkam yang mengekalkan elemen tradisional, namun disesuaikan dengan cita rasa semasa.

Dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan dalam industri kraf tangan yang semakin kompetitif, Danny menekankan kepentingan idea kreatif baharu agar seni keringkam terus relevan.

Namun begitu, beliau mengakui cabaran utama yang dihadapi ialah persaingan tidak sihat, khususnya isu cetak rompak menggunakan mesin serta penggunaan motif hasil artisan tanpa kebenaran.

“Motif keringkam sering disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk keuntungan sendiri tanpa menghargai warisan yang dijaga oleh penggiat seni,” katanya.

Bagi Danny, mempertahankan keaslian keringkam bukan sekadar soal perniagaan, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan seni warisan Melayu Sarawak terus dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

KEJELITAAN TERSERLAH… Dayangku Norhasiba Awang Tambi tampil dengan tudung Sulaman Keringkam.

Danny juga telah diiktiraf sebagai penerima anugerah Inovatif Terbaik Untuk Sulaman & Hiasan di Hasanah Anugerah Benang Emas 2024 oleh Yayasan Hasanah.

Baru-baru ini busana dan rekaan Sulaman Keringkam beliau telah ditampilkan di Majlis Minum Petang Diraja  Peniagawati sempena Ulang Tahun yang ke-45 yang berlangsung di Diamond Ballroom Hotel Equatorial Kuala Kumpur pada 21 Januari 2026.

Sulaman keringkam beliau telah diperagakan oleh Biro Peniagawati Chapter Sarawak menerusi alunan piano Sharnaz Saberi dan nyanyian Dayangku Norhasiba Awang Tambi yang  membuka tirai persembahan dengan lagu Puteri Sarawak.

Majlis penuh istiadat ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut Mengiringi keberangkatan baginda ialah Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah, isteri kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Motosikal jadi gerai Pak Abu Putu Mayung di Lebuh India
Next: Cakoi Kampung Nombor gamit selera pelanggan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.