SEBUT sahaja projek bertani sudah tentunya ramai anak muda pada zaman sekarang berkata lebih rela bekerja makan gaji di bandar daripada bertindak membanting tulang dan mengerah keringat di bawah matahari terik untuk mengerjakan aktiviti seperti itu.
Ini kerana bekerja makan gaji di bandar kononnya tidak memerlukan mereka berjemur di bawah matahari terik, dapat memelihara kemulusan kulit, terus kekal segak atau cantik, dan seterusnya dapat menikmati gaya hidup yang lebih baik.
Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku terhadap seorang anak muda kelahiran Simanggang yang memilih pertanian sebagai salah satu aktiviti utamanya untuk mengelak hidup makan gaji seperti anak muda lain dalam negeri ini.
Anak muda itu, Isaac Stalin Simon Japut, 42, telah membuka operasi Happy Coconut Farm bertempat di Lorong 5, Jalan Stakan di Kota Samarahan untuk melaksana projek pertanian moden sebagai landasan utama untuk memajukan hidup diri.
Beliau ketika ditemui memberitahu Happy Coconut Farm sudah beroperasi semenjak lapan tahun lepas di atas tanak berkeluasan 12 ekar dengan beberapa jenis tanaman dipilih untuk menjayakan projek pertanian modennya di situ.
Amalkan Sistem Kitar Semula Pembajaan
Antara tanaman yang diusahakan oleh beliau di ladang berkenaan adalah kelapa pandan, sayur kacang panjang, bendi, timun, terung, ensabi, kangkung, cili, peria, tomato dan sawi.
Katanya, Happy Coconut Farm mengamalkan sistem kitar semula dalam pembajaan, penyediaan tanaman dan pemakanan ternakan dengan sabut kelapa atau ‘cocopeat’ daripada kelapa digunakan sebagai medium tanaman.
“Kelapa tandan merupakan tanaman utama saya. Sehingga kini sejumlah 600 pokok kelapa tandan sudah pun ditanam di Happy Coconut Farm dengan beberapa tanaman lain turut diusahakan di situ melalui kaedah integrasi.
“Antara tanaman yang dilaksana melalui kaedah integrasi di atas 22 blok tanah dalam ladang saya adalah kacang panjang, bendi, timun, terung, ensabi, kangkung, cili, peria, tomato dan sawi,” katanya.
Isaac memberitahu faktor kelapa pandan dipilih sebagai tanaman utama bagi projek ladangnya adalah disebabkan oleh hasil pertanian yang menarik dan mempunyai khasiat tersendiri serta nilai kesihatan kepada pengguna.
Dengan pelaburan setakat ini sudah pun melebihi RM50,000, Happy Coconut Farm katanya sudah pun menghasilkan sejumlah 70,000 biji buah kelapa tandan setahun dan 750 kilogram hingga 1.5 tan sayur-sayuran sebulan.
Rancakkan Aktiviti Bertani
“Selain itu, saya juga turut mengusahakan projek penternakan itik penelur di samping menyediakan tapak semaian benih untuk kelapa pandan F2 untuk merancakkan lagi aktiviti bertani Happy Coconut Farm.
“Dengan adanya projek seperti saya bukan mampu mempertingkat ekonomi keluarga malah dapat membantu menyumbang kepada keperluan tabung makanan (food bank) di negara amnya dan Sarawak khasnya untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Isaac yang sebelum ini pernah menghadiri kursus Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga berkata sedang menyimpan impian untuk menternak lembu dan memperluas kawasan tanaman di Happy Coconut Farm.
“Saya berharap agar anak-anak muda membuang persepsi negatif mereka terhadap aktiviti pertanian kerana jika ia dilaksana dengan betul mengikut tunjuk ajar dan panduan daripada pihak berpengalaman maka sudah pasti akan membuahkan hasil suatu hari nanti,”katanya.
Isaac kini merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Usahawan Kelapa Sarawak yang sudah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan merupakan lulusan bidang Teknologi Maklumat yang pernah mengusahakan perniagaan kedai komputer di Bandar Simanggang.
Beliau sebelum ini pernah membantu individu yang terkesan akibat penularan Covid-19 sebelum ini untuk mengusahakan plot tanaman seluas 20 kaki x 150 kaki di Happy Coconut Farm dengan sewa minimum mula dikenakan apabila projek mereka mula membuahkan hasil.
Mereka yang pernah dibantu oleh beliau adalah para pekerja teknikal syarikat penerbangan Malindo Air yang kini sudah pun dipanggil kembali untuk bekerja di syarikat penerbangan mereka semenjak ekonomi negara kembali ke landasan pada pasca Covid-19.
“Saya lakukan ini untuk menggalakkan anak muda kita berjinak-jinak dalam bidang pertanian yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan untuk seisi keluarga mereka di samping memastikan keperluan tabung makanan di negeri kita terjaga,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG