SKUAD Kuching FA berharap pengurusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi kelonggaran penuh selepas 1 Julai depan bagi membolehkan sesi latihan dapat dijalankan seperti biasa.
Ini berikutan latihan sedia ada adalah ‘tanpa bersentuhan’ dan terpaksa dilaksanakan ekoran perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Penolong Jurulatih, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah memberitahu, sesi latihan dipraktikan oleh pemain ketika ini masih lagi dilihat agak terbatas.
“Pemain tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain ketika menjalani latihan. Kita perlu menunggu perkeliling baharu pada 1 Julai depan sama ada ada kelonggaran penuh diberikan atau sebaliknya,” ujar beliau ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya petang semalam.
Menurut Nurfaizal, beliau tetap mengakui situasi yang masih belum tenteram di seluruh negara mahupun dunia ekoran pendemik berbahaya itu.
Lantaran itu katanya, besar harapan agar musibah itu akan dapat pulih sepenuhnya sekali gus dapat menjurus kepada peralihan tatacara latihan yang berbeza selepas ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap pihak MFL dapat memberi ketetapan tarikh bagi memulakan kembali saingan Liga Premier 2020.
“Kalau boleh biarlah ada ketetapan tarikh untuk memulakan kembali saingan liga supaya kita dapat merancang program latihan dengan komprehensif,” tambahnya lagi. Skuad Kuching FA kembali menyambung semula sesi latihan mereka Selasa lepas dengan norma baharu berpandukan kepada SOP ditetapkan.
Oleh Faizal Bujang