PETINJU yang berada dalam skuad untuk berentap di temasya Sukan Malaysa (SUKMA) XX Johor 2020 masih berlatih seperti biasa.
Meskipun, kebanyakan persatuan sukan lain dengan rutin sama memperketatkan pergerakan atlet masing-masing ekoran dibuai kebimbangan gara-gara timbul semula kes jangkitan virus Covid-19 di Bandaraya Kuching ketika ini.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo memberitahu, latihan untuk petinju berjalan seperti biasa.
Akan tetapi katanya, pergerakan setiap atlet sentiasa dipantu dengan penuh rapi bagi memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai mana ditetapkan.
“Latihan berjalan seperti biasa…akan tetapi pergerakan semua petinju diperketatkan lagi.
“Fokus kita mahu memastikan tahap kesihatan diri mereka terjamin sepenuhnya,” ujar Dato Rahman ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Menurut Dato Rahman, belum ada sebarang arahan daripada badan induk Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mahupun Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk mengubah jadual latihan setakat ini.
Katanya, satu mesyuarat khas MSN yang turut membabitkan semua persatuan sukan terlibat dengan temasya dwitahunan negara itu diadakan esok (Khamis).
“Mungkin ada sebarang pindaan jadual latihan sebaik keputusan diperolehi pada mesyuarat itu kelak,” tambah Dato Rahman lagi.
Sembilan petinju terbaik taruhan SABA untuk menghadapi Sukma XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung 6 hingga 14 Mac 2021.
Petinju terbabit ialah Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) iaitu penyumbang pingat emas ketika Sukma 2018 di Perak.
Christyuden Anak Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Anak Sumbang (56kg) yang juga penyumbang pingat gangsa ditemasya sama dua tahun lepas.
Di samping enam petinju lain iaitu Jackson Chambai Anak Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Anak Hendry (91kg).
Oleh Faizal Bujang