JIKA ramai rakan seuniversiti memilih untuk bersama keluarga di rumah sepanjang cuti semester, apatah lagi ketika penularan pandemik Covid-19 semakin parah, Sara Wajiha Azman memutuskan untuk memanfaatkan masa luang tersebut dengan menyumbang kepada negara.
Gadis berusia 21 tahun itu memilih menjadi sukarelawan MyVac bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan dia beruntung kerana terpilih bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Galaxy Mall di Ampang yang terletak berhampiran kediaman keluarganya.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai “satu dalam sejuta”, penuntut tahun dua di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia tersebut berkata dia juga bertuah kerana terpilih mengetuai pasukan MyVac di PPV berkenaan.
“Banyak cabaran yang dilalui, khususnya dalam memastikan kita mempunyai sukarelawan mencukupi untuk bertugas setiap hari.
“Seperti kita sedia maklum, bukan semua boleh datang setiap hari kerana masing-masing ada komitmen lain. Justeru, apabila keadaan itu berlaku, saya perlu bijak menyusun tenaga kerja sedia ada seperti mengurangkan orang di stesen tertentu dan meletakkan mereka bertugas di stesen yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
CABARAN URUS WARGA ASING
Menurutnya, cabaran lain ialah berurusan dengan warga asing yang kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris sekalipun ada pasukan penterjemah untuk membantu mereka mengisi borang persetujuan vaksinasi dan maklumat diri.
“Jadi, tugas saya sebagai ketua ialah perlu segera fikirkan cara untuk mengatasi masalah sedia ada, sebagai contoh menghentikan sementara sistem nombor giliran dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk melancarkan semula proses vaksinasi.
“Selain itu, kita ahli sukarelawan juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 secara langsung kerana ada ahli masyarakat yang masih tidak faham bahawa jika mereka merupakan kontak rapat, kes suspek, positif Covid-19, mereka tidak boleh datang ke PPV untuk mengambil vaksin. Malah, ada banyak kes menipu surat sokongan doktor dan mengatakan dia negatif jangkitan, walhal surat itu adalah surat palsu,” keluhnya.
TENAGA BELIA PERLU DIGEMBLENG
Sara Wajiha yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di universitinya juga menyangkal dakwaan bahawa belia negara ini lemah dan gagal membantu kerajaan dalam mengharungi pandemik COVID-19.
“… sebenarnya ramai yang tidak dapat duduk diam memikirkan bagaimana hendak memberi sumbangan tenaga dan masa mereka. Saya difahamkan ada kira-kira 60,000 orang yang masih menunggu giliran dan peluang untuk menjadi sukarelawan MyVac, dan ini merupakan jumlah yang besar,” katanya.
Mengenai masa yang dihabiskan di PPV itu, wanita muda berkenaan berkata hampir setiap hari dia akan berada di situ hingga malam kerana ada masanya mereka tidak mempunyai petugas yang mencukupi.
Dia juga bersyukur kerana mendapat restu ibu bapa untuk bertugas di PPV. – Bernama