
SIMUNJAN: Budaya berkhatan bukan sekadar amalan keagamaan, tetapi juga mencerminkan warisan dan semangat perpaduan dalam masyarakat.
Menerusi program khatan beramai-ramai yang diadakan di Dewan Kampung Kelka, semangat kebersamaan ini terus diperkukuh apabila penduduk setempat berganding bahu menjayakan acara penuh tradisi tersebut.

Program itu mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang menegaskan kepentingan penganjuran acara sebegini dalam mengekalkan budaya tradisi serta menggalakkan semangat kebersamaan antara penduduk.
Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga dalam melaksanakan tanggungjawab agama terhadap anak-anak mereka, tetapi juga memastikan tradisi berkhatan terus diamalkan tanpa dibebani kos yang tinggi.
“Budaya berkhatan ini mempunyai banyak manfaat, terutama dari aspek kesihatan dan kebersihan, yang menjadi keutamaan dalam ajaran Islam.

“Ia juga berperanan dalam memelihara adat dan warisan kita agar tidak hilang ditelan arus pemodenan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Program itu turut menyaksikan penyertaan kira-kira 40 kanak-kanak, termasuk bukan Islam, yang turut serta sebagai tanda sokongan terhadap keharmonian dan toleransi masyarakat berbilang kaum di Simunjan.
Para peserta diarak dengan pukulan hadrah sebelum menerima tepung tawar yang disempurnakan oleh Awla sendiri.

Sebagai simbolik perasmian, beliau bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Simunjan menyiram air ke atas peserta, menandakan pelaksanaan program yang penuh makna.
Program tersebut turut melibatkan kerjasama erat antara Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIP) Cawangan Samarahan, Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan.
Turut hadir, Pengerusi PERKIP Cawangan Samarahan yang juga Pengerusi Program, Dr. Mohd. Fahmi Mat Diah, Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan, Dr. Nur Azimah Azman, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi serta ketua-ketua kaum dan ahli-ahli PBB Cawangan Simunjan.