LIMBANG: Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berharap kempen bagi merebut kerusi kawasan berkenaan berlangsung dalam suasana sihat.
Beliau menjelaskan secara terbuka untuk tidak akan menggunakan sebarang isu peribadi, perkauman, bangsa dan sebagainya.
“Kita bersaing dengan sihat jangan guna isu sensitif, menyerang secara peribadi dan itu tidak baik,” katanya ketika temui media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) DUN Bukit Kota di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Bunga Raya kelmarin.
Menurut beliau, untuk mencari kesalahan memang mudah dan itu perlu dielakkan.
“Selamat bertanding secara sihat dan rakyat akan tahu menilai kerana GPS mempunyau hala tuju jelas,”ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, GPS Bukit Kota mengguna pakai media sosial dengan menubuhkan studio pilihan raya yang bersiaran 24 jam, dengan mengetengahkan jentera kempen selain memaparkan pembangunan rancak di setiap pelosok kampung di kawasan Bukit Kota.
“Saya sendiri bersiaran setiap malam dari 9.00 hingga 10.00 malam selain berkempen secara ceramah dalam kelompok kecil mengikut garis panduan (SOP) ditetapkan,”kata beliau.
Dr. Abdul Rahman 58, anak jati Kampung Limpaong Limbang ditentang melalui pertembungan empat penjuru termasuk calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) dari Kampung Patiambun Rosli Amat 57 tahun.
Seorang pesara guru yang berbangsa Cina Lim Lian Hun, 70, dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) turut mencuba nasib atas prinsip ingin membawa perubahan di kerusi itu.
Calon Bebas Harun Bungsu, 66, dari Kampung Patiambun turut memeriahkan lagi pertembungan bagi merebut kerusi Bukit Kota.
Bukit Kota adalah kubu kuat GPS dan Parti PBB dengan PRN lalu menyaksikan Dr. Abdul Rahman berjaya menang tanpa bertanding.
Oleh ADENG EDRUS