
SINTOK: Kecenderungan terhadap berita ringkas, sensasi dan tular dilihat telah menghakis nilai kewartawanan mendalam yang memerlukan ketelitian, penyelidikan serta kefahaman isu secara menyeluruh.
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata perkara itu menjadi cabaran dalam dunia kewartawanan hari ini yang menyebabkan long-form journalism atau kewartawanan bentuk panjang kini semakin terpinggir.
“Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kewartawanan perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menonjolkan sisi negatif semata-mata demi tajuk sensasi. Sebaliknya, kita harus lebih peka dalam memaparkan nilai-nilai positif, menyemai kefahaman dan menggalakkan perpaduan khususnya jika kita terlibat dalam penulisan, penyiaran atau penerbitan,” katanya,
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Forum Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.
Yong berkata dunia kewartawanan hari ini bukan sahaja memerlukan wartawan menjadi pantas tetapi juga tangkas, cekap dan berwibawa dalam menyesuaikan diri dengan landskap media yang begitu pesat berubah.
Beliau berkata wartawan bukan sekadar bersaing sesama sendiri atau organisasi berita tetapi juga berhadapan dengan entiti yang tidak pernah tidur iaitu sistem automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pelantar digital yang menjana maklumat tanpa henti, 24 jam sehari.
“AI kini bukan lagi bersifat eksperimental. Ia telah meresap ke dalam bilik berita, peranti pintar serta mempengaruhi cara khalayak menerima maklumat dan membentuk keputusan.
“Algoritma bukan sahaja mampu menjana tajuk utama dan ringkasan artikel malah kini mampu mencipta naratif automatik, menghasilkan gambar dan video palsu serta membina ilusi yang amat sukar dibezakan daripada realiti,” katanya.
Yong berkata tugas wartawan hari ini jauh lebih kompleks kerana mereka perlu dibekalkan dengan kefahaman teknologi, celik data dan kemahiran menyemak fakta dalam ekosistem maklumat yang sangat pantas.
Beliau berkata wartawan juga perlu memahami cara gangguan maklumat disebar, mengenal corak penyebaran kandungan melalui algoritma dan menilai kesahihan maklumat bukan hanya melalui nama sumber tetapi melalui konteks serta penyebarannya.
“Bagi saya, kita tidak harus tunduk kepada kuasa teknologi sebaliknya perlu memanfaatkan ia. Mesin bukan pengganti manusia.
“AI adalah alat dan kita sebagai insan yang berilmu, harus tetap memimpin dalam membuat pertimbangan, menetapkan etika serta mengekalkan prinsip kewartawanan yang luhur,” katanya.
Yong juga berkata nilai kemanusiaan dan pemikiran yang rasional tidak boleh dikorbankan hanya kerana keinginan mengejar kecepatan atau populariti.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam dunia media, kredibiliti tetap menjadi modal paling berharga yang tidak datang melalui teknologi semata-mata sebaliknya terbit daripada latihan berterusan, integriti dalam penyelidikan dan kejujuran dalam menyampaikan maklumat.– Bernama