Berita palsu mangsa gempa hidup semula beri harapan palsu kepada rakyat Venezuela

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ORANG ramai mencari mayat di celah runtuhan sebuah bangunan di Caraballeda, Venezuela, pada 22 Julai 2026, hampir sebulan selepas gempa bumi yang melanda negara itu pada 24 Jun lalu. Foto AFP

CARABALLEDA, Venezuela: Berita palsu yang mendakwa mangsa gempa bumi di Venezuela ditemui masih hidup sebulan selepas bencana itu berlaku kini tular dengan pantas di media sosial, sekali gus memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.

Ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang masih meneruskan usaha mencari mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda utara Venezuela pada 24 Jun lalu.

Pada malam Rabu, dakwaan palsu bahawa tiga individu ditemui masih hidup di Kompleks Perumahan OPP 26 di bandar La Guaira, kawasan yang paling teruk terjejas, tersebar meluas di media sosial.

JENTERA berat digunakan untuk mengalihkan runtuhan sebuah bangunan yang roboh di Caraballeda, Venezuela, pada 23 Julai 2026,

Maklumat tidak benar itu memburukkan lagi keadaan yang sememangnya amat sukar bagi keluarga yang masih mencari ahli keluarga yang hilang.

Berpegang kepada harapan, sebahagian daripada mereka bergegas ke lokasi kejadian.

“Mereka tidak sepatutnya memutarbelitkan maklumat seperti itu kerana ia memberi harapan, sedangkan kita tahu perkara itu mustahil,” kata Naiti Sarria kepada AFP sambil mengesat air mata.

Sarria menghabiskan sebulan lalu mencari ibu mentuanya, Olga Hernandez, 74, yang tinggal di salah sebuah bangunan 12 tingkat di OPP 26.

SUKARELAWAN mencari mayat di celah runtuhan sebuah bangunan yang roboh di Caraballeda, Venezuela, pada 23 Julai 2026. Foto AFP

“Bagi Tuhan, tiada yang mustahil, tetapi tidak wajar mempermainkan perasaan orang yang berada di sini… Ia membuatkan saya sedih,” katanya.

Agensi Perlindungan Awam Venezuela mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa dakwaan mengenai “penyelamatan mangsa yang masih hidup” di alamat berkenaan adalah palsu.

Gempa bumi itu mengorbankan lebih 5,000 nyawa dan mencederakan hampir 17,000 orang, manakala lebih 23,000 penduduk di negeri pesisir La Guaira kehilangan tempat tinggal. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 50,000 orang masih hilang susulan tragedi tersebut. – AFP