SALAH satu nama yang tidak asing lagi dalam sejarah Malaysia dan Sarawak adalah Rosli Dhobi. Namanya mula terpahat dalam sejarah Malaysia dan Sarawak apabila berlaku peristiwa berdarah di Sibu. Peristiwa berdarah yang berlaku pada 3 Disember 1949 itu mengejutkan dunia.
Kejadian itu berlaku ketika Gabenor Duncan Stewart sedang memeriksa barisan orang ramai yang menyambut beliau di Sibu. Rosli Dhobi pula ketika itu mendekati beliau dan menikam gabenor tersebut. Duncan Stewart cuba diselamatkan pada waktu itu tetapi gagal dan beliau meninggal dunia pada 10 Disember 1949.
Persatuan Pemuda Melayu (PPM) dan cawangan-cawangannya yang dikaitkan dengan Rosli Dhobi telah diharamkan.
CATATAN AKHBAR DUNIA
Peristiwa yang berlaku di Sibu ini mula mendapat liputan berita dunia seperti di Australia. Antara akhbar pertama yang memaparkan kejadian ini adalah The Advertiser, Border Morning Mail, The Kalgoolie Miner dan the West Australian. Ketiga-tiga akhbar yang awal ini menyiarkan berita terbabit pada 5 Disember 1949.
Bagi The Advertiser, berita tentang hal ini dipaparkan pada muka depan surat khabar tersebut. The Kalgoolie Miner memaparkan berita ini pada muka surat lima. Border Morning Mail pula meletakkan berita ini dimuka surat 12. Bagi The West Australian pula berita tentang kejadian ini hanya dipaparkan pada 6 Disember 1949 di muka surat kelapan dengan tajuk ‘Stabbing the Governor’.
Surat khabar di Amerika Syarikat yang memaparkan berita ini ialah The Nome Nugget dan The Evening Star. The Nome Nugget menceritakan secara mendalam tentang usaha gerakan penyerahan yang menentang British sehingga kejadian di Sibu. Berita ini disiarkan pada 5 Disember 1949 di muka surat lima. Berita tentang kejadian ini dilaporkan oleh The Evening Star pada 9 Disember 1949 di muka depan dengan menyatakan tentang keadaan Gabenor Sarawak yang semakin tenat.
Surat khabar Perancis yang menyiarkan berita ini adalah Un Etat Critique pada 7 Disember 1949. Berita yang sama juga disiarkan olen L’Action Catholique Vendredi pada 10 Disember 1949. Di India antara surat khabar menyiarkan kejadian ini ialah the Indian Express pada 5 Disember 1949.
TERKEJUT
Bekas Raja Sarawak iaitu Vyner Brooke dan isterinya terkejut dengan apa yang berlaku di Sibu. Mereka berharap Duncan Stewart akan cepat sembuh. Berita tentang kejadian ini juga mendapat perhatian Raja George IV, England yang mezahir rasa terkejut dan menyampaikan takziahnya kepada keluarga mendiang Duncan Stewart.
Anthony Brooke yang mendengar berita ini menasihatkan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak tidak mengadakan demontrasi dan tidak menyambut hari jadi beliau. Dalam hal ini juga Anthony Brooke menyatakan bahawa pihak British menggunakan peluang insiden ini untuk mengesahkan lagi tindakan tidak mengikut undang-undang mereka dan cuba melarikan diri daripada kejadian yang mereka buat. Beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Duncan Stewart.
Dalam hal ini pihak British menerusi Setiausaha Tanah Jajahannya, Arthur Creech Jones menafikan bahawa kejadian berdarah itu akan membawa kepada tersebarnya rasa kurang senang politik dalam kalangan penduduk Sarawak. Beliau menambah bahawa kejadian itu dibawa oleh segelintir pihak sahaja yang beliau anggap ‘ganas’ dan ‘tidak terkawal’ didorong oleh propaganda mengelirukan daripada pihak anti-penyerahan.
Pada masa sama bekas Setiausaha Tanah Jajahan iaitu Oliver Stanley pula mengutuk tindakan pembunuhan Duncan Stewart.
ULASAN PENGARANG
Antara pengarang akhbar yang memberi ulasan tentang kejadian ini adalah O. M. Green. Green adalah pengulas tentang hal ehwal bahagian timur. Beliau memberi pendapat dalam the Yorkshire Post yang menyatakan bahawa pihak British memandang rendah terhadap rasa tidak senang dalam kalangan penduduk tempatan di Sarawak terhadap dasar British.
Beliau menambah bahawa walaupun pemerintahan Raja Brooke sebelum ini bersifat monarki mutlak tetapi penduduk Sarawak tidak menunjukkan sikap menolak mahupun tidak senang dengan pemerintahan Brooke. Katanya, Kerajaan British yang beliau anggap sebagai kerajaan sosialis itu sebenarnya mempunyai dasar untuk memberi taraf berkerajaan sendiri dan penentuan diri sebagai matlamat utama mereka di tanah jajahannya.
Tetapi kerajaan ini tidak menunjukkan dasar tersebut di Sarawak. Sebaliknya mereka pula memusnah harapan ini bagi rakyat yang telah mempunyai hak ini dan dijamin dalam perlembagaan bertulis mereka. Akhir sekali beliau menyatakan bahawa Kerajaan British tidak mengurus dengan baik tentang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk Sarawak.
Seorang lagi wartawan iaitu Frank Gibney dari Majalah Times Amerika Syarikat yang baru sahaja tiba di Kuching selepas berlaku peristiwa berdarah ini mengakui bahawa sentimen menentang penyerahan adalah serius tetapi hanya dalam kalangan orang Melayu.
Lawatan beliau pada 5 Disember 1949 di sekitar Kuching memperlihatkan beberapa nota-nota bertulis dengan dakwat merah di luar kawasan rumah memaparkan perkataan “Down With Cession”.
PERUBAHAN TARAF
Surat khabar De Telegraaf dari Belanda turut membuat ulasan dengan mengulas peristiwa itu sebagai kesedaran bangsa Asia yang mula bertindak ke atas pihak koloni yang menjajah mereka.
Menurut akhbar itu, Kerajaan Britian yang dikuasai oleh Parti Buruh berkali-kali menyatakan bahawa era kolonialisme telah tamat dan mereka memahami serta menghormati harapan kebangkitan Asia. Namun menurut surat khabar ini bahawa Kerajaan British telah menurun taraf kemerdekaan Sarawak kepada tahap tanah jajahan.
Peristiwa berdarah di Sibu ini merupakan kemuncak kepada gerakan anti-penyerahan. Peristiwa itu melambangkan sikap ego British yang masih lagi melihat mereka tuan dan tidak menghiraukan aspirasi rakyat pribumi yang mahu kebebasan serta hak mereka dijaga. Malahan hukuman gantung ke atas Rosli Dhobi yang berusia 16 tahun memperlihatkan rasa kurang senang British pada gerakan penyerahan.
Ulasan-ulasan daripada surat khabar antarabangsa melihat kejadian itu berpunca dari dasar penjajahan British sendiri. Atas sebab itu bangsa tertindas oleh penjajahan akan bangkit untuk menuntut hak mereka di tanah air mereka sendiri.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.