SARIKEI: Kerjasama erat antara wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus menjadi asas kepada perjuangan membawa pembangunan serta kesejahteraan kepada rakyat di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, kerjasama ini sangat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa diutamakan.
“Terima kasih dan setinggi penghargaan kepada ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing kerana sentiasa memberi kerjasama yang terbaik.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memilih saya sebagai wakil rakyat untuk Parlimen Sarikei dan DUN Repok.
“Sokongan padu daripada rakyat adalah amanah yang akan saya galas sebaik mungkin demi memastikan pembangunan dan kebajikan mereka terus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Sarikei bersama Pejabat Timbalan NRES, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.
Tambahnya, sokongan rakyat adalah motivasi terbesarnya untuk terus bekerja keras demi kesejahteraan bersama.
Tiong Sii turut menekankan bahawa semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak adalah contoh teladan yang wajar dicontohi.
“Perayaan-perayaan yang disambut di negeri kita ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuh silaturahim antara masyarakat pelbagai etnik.
“Tradisi saling mengunjungi yang terus diamalkan mencerminkan keharmonian dan semangat perpaduan yang tinggi,” tambahnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus mendukung usaha kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan yang seimbang serta memberi tumpuan kepada aspek ekonomi, pendidikan dan infrastruktur demi kemakmuran bersama.
“Kejayaan di Sarikei dan Meradong bergantung kepada perpaduan rakyat dan kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat.
“Bersama-sama, kita mampu menjadikan kawasan ini sebagai contoh terbaik dalam aspek pembangunan dan perpaduan,” katanya.
Tiong Sii juga optimis bahawa tahun ini akan membawa lebih banyak kemajuan, sambil berharap rakyat terus menyokong agenda pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan GPS untuk masa depan yang lebih baik.
Turut hadir ialah ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Oleh Earl Anek