BANGKOK: Thailand akan terus memberi perlindungan dan bantuan kemanusiaan kepada ribuan penduduk kampung di sempadan Myanmar yang melarikan diri berikutan pertempuran terkini antara tentera Myanmar dan pemberontak Karen.
Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat berkata ketika ini 2,267 warga Myanmar berlindung di wilayah Mae Hong Son, Thailand sejak lewat petang semalam.
“Kita akan terus memberikan bantuan kemanusiaan menurut prinsip kemanusiaan sesuai dengan keperluan mendesak mereka,” katanya pada sidang media kelmarin.
Pada 5.00 pagi Selasa (waktu tempatan), Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) dan Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen (KNLA) melancarkan serangan ke atas sebuah pos tentera Myanmar di seberang Desa Mae Sam Laep di daerah Sop Moei, Wilayah Mae Hong Son.
Tentera Myanmar kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara di beberapa kawasan berhampiran sempadan Thailand.
Menurut laporan media ia antara pertempuran paling sengit sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari dengan sumber KNU menyatakan tentera kembali menguasai kem tentera Myanmar melalui serangan udara. KNU adalah pasukan pemberontak terawal di Myanmar.
Sementara itu, Reuters memetik Karen Peace Support Network melaporkan ribuan penduduk kampung berlindung di bahagian Salween Myanmar dan bersedia untuk melarikan diri ke Thailand jika pertempuran memuncak.
Tanee berkata, berdasarkan pengalaman,agensi Thailand telah bersiap sedia untuk menghadapi kebanjiran pelarian dan memantau keadaan di sepanjang sempadan.
“Pihak berkuasa dan pentadbiran wilayah di sepanjang sempadan dengan Myanmar telah mengemas kini prosedur operasi sedia ada untuk memastikan koordinasi berjalan lancar.
“Kami telah menyiapkan kawasan dan sokongan logistik serta langkah pencegahan Covid-19 untuk dilaksanakan di sepanjang sempadan,” katanya.-Bernama