KUCHING: Beri peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih anggota Kabinetnya sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kebijaksanaan Anwar membentuk Kabinet akan membantunya memartabatkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Apa yang paling penting adalah untuk bermula dengan langkah pembentukan kerajaan perpaduan seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kestabilan negara kini boleh dicapai dan Kabinet dibentuk Perdana Menteri nanti akan dapat memberi tumpuan kepada isu paling penting yang melibatkan rakyat Malaysia iaitu ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan simbolik Projek Kelab Bersama Rotary Pan Borneo di Rumah Tanoti, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Fatimah mengingatkan supaya rakyat terus mengekalkan perpaduan antara kaum tanpa mengira fahaman politik dan agama yang berbeza.
Katanya, setiap masyarakat perlu berganding bahu dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi.
“Orang ramai khuatir akan keselamatan, perpaduan dan keharmonian kaum dalam tempoh selepas pilihan raya umum ke-15 dan sebelum pelantikan perdana menteri.
“Justeru itu, kini kita perlu memberi lebih perhatian kepada isu perpaduan kerana kita mahu rakyat kita sentiasa bersatu padu,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA