RUPA-rupanya penurunan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak cuma membabitkan projek kecil dalam sektor pendidikan di wilayah ini.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah JPN Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad setelah menerima surat penurunan kuasa oleh Menteri Pendidikan kepada Pengarah JPN Sarawak ‘Untuk Memberi Kelulusan Kepada Permohonan Projek-Projek Pembangunan Yang Dibiayai selain Kementerian Pelajaran (KPM)’ tahun ini.
“Ini bermakna saya boleh meluluskan setiap projek kecil yang melibatkan sekolah, selagi ia dibiayai oleh kerajaan Sarawak atau pihak swasta tanpa harga siling atau batas. Projek yang dimaksudkan adalah menaik taraf sekolah daif, pembangunan kuaters guru dan penyenggaraan serta apa-apa sahaja projek kecil yang melibatkan sekolah di seluruh Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Apresiasi Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Auditorium JPN Sarawak, di Kuching, 10 Jun lalu.
Projek kecil? Bukankah projek kecil ini sudah mampu ditanggung oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP)? Contoh, baik pulih pusat rekreasi sekolah, bina baharu dewan serbaguna sekolah, sistem perparitan dan naik taraf jalan simen, cat bangunan sekolah dan sebagainya selain yang bukan sektor pendidikan.
Apakah ‘projek kecil’ ini mampu menyelesaikan bangunan sekolah daif di Bumi Kenyalang?
Untuk rekod, setiap ADUN yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebenarnya diberi peruntukan RM5 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai projek RTP, manakala setiap Ahli Parlimen GPS juga diberi peruntukan RM2.5 juta setahun oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pelbagai Projek Tranformasi Luar Bandar.
Selain itu, Kerajaan Pusat pula menyumbang RM2 juta setahun untuk Ahli Parlimen melaksanakan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di kawasan masing-masing. Sebagai tambahan, kerajaan Sarawak memberi dana RM1 juta setahun khusus bagi setiap ADUN dan Ahli Parlimen untuk Program Baikpulih Rumah Rakyat Termiskin di kawasan masing-masing. Orang ramai perlu tahu hal dana ini dan mintalah pada YB masing-masing jika rumah kampung anda atau rumah daif keluarga anda perlu dibaiki atau baik pulih. Jika tidak, jangan undi bila tiba masanya nanti.
Sebab itulah kita boleh lihat banyak projek kecil ini diumum dan dilaksanakan di setiap kawasan DUN dan Parlimen di bumi bertuah ini hingga ‘mencurah-curah’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebabnya… kerajaan Sarawak ada duit, dan tahun lalu, Sarawak telah merekodkan pendapatan mencecah RM13.1 bilion, angka tertinggi pernah dicapai oleh kerajaan Sarawak.
Berdasarkan hakikat ini, Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan perlu menurunkan kuasa kepada Pengarah JPN Sarawak untuk projek yang lebih besar dan berimpak tinggi termasuk penggantian struktur baharu bangunan (untuk sekolah daif) bukan projek kecil yang sudah mampu ditangani oleh ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
Undang banyak persoalan
Persoalan ini juga dilontar oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang selama ini kerap ‘menganggu’ Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat dengan membangkitkan banyak isu pendidikan di Sarawak sehingga Fadhlina pernah mengheretnya ke cafeteria Parlimen untuk ‘minum sambil bincang’.
“Walaupun kita menyambut baik inisiatif ini (penurunan kuasa), tetapi pada masa sama, ia mengundang banyak persoalan yang perlu jawapan dan pencerahan kerana penurunan kuasa ini seperti ada prasyarat iaitu Pengarah JPN Sarawak hanya mempunyai bidang kuasa meluluskan projek-projek yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak sahaja atau pihak swasta.
“Harus diingat, Sarawak mempunyai sekolah daif yang paling banyak di negara ini, khususnya sekolah daif berskala enam dan tujuh yang merujuk kepada sekolah tidak selamat dan perlu gantian bangunan baharu yang pasti menelan kos besar. Jika ada pertandingan sekolah-sekolah daif di Malaysia, sudah pasti Sarawak akan mendapat juara,” kata Ahmad Johnie secara sinis.
Persoalannya kata beliau, ialah sejauh mana kesanggupan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak yang masih banyak, apakah jenis atau kategori projek-projek yang akan di biayai oleh kerajaan Sarawak.
“Bagaimana dengan projek bina baharu sekolah-sekolah skala enam dan tujuh? Apakah formula ‘bina dahulu bayar kemudian’ terpakai dalam soal ini? Adakah kerajaan Sarawak atau Kerajaan Persekutuan sudi untuk menggunakan kaedah ini sebagaimana formula pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini?
“Seandainya formula ‘bina dahulu bayar kemudian’ dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan, nescaya isu sekolah-sekolah daif di Sarawak akan dapat di atasi dengan cepat.
“Penurunan kuasa untuk pembinaan dan penyelenggaraan projek-projek kecil tidak memadai dan tidak akan dapat mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak. Apa yang penting ialah penurunan kuasa ini harus signifikan dan berimpak tinggi kerana ia melibatkan kos dan masa. Oleh hal demikian, JTBPP (Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan) harus dapat mencari penyelesaian segera dalam hal ini,” katanya.
Menurut Ahmad Johnie lagi, isu autonomi atau penurunan kuasa sering menjadi topik perbincangan hangat dan menarik sejak mutakhir ini, bermakna ada sesuatu yang tidak kena dan belum terlerai dengan tuntasnya dalam sistem pendidikan di Sarawak.
Katanya, apabila bercakap tentang isu pendidikan di Sarawak, ada dua isu yang sangat sinonim sekali iaitu isu sekolah daif dan isu kekurangan guru. Kedua-dua isu inilah yang sering menjadi buah mulut dan polemik perbincangan khususnya dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa.
Ubah kaedah turun kuasa
Malah isu ini juga sering berkumandang di dalam Dewan Rakyat setiap kali sidang Parlimen diadakan.
“Perlu diingat soal pendidikan adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Sebab itulah timbulnya soal tuntutan penurunan kuasa dari Kerajaan Persekutuan agar masalah pendidikan di Sarawak dapat diatasi dengan segera,” katanya.
Menurut Ahmad Johnie lagi, sejauh mana kedua-dua pihak serius untuk mengatasi masalah pendidikan ini jelas dapat dilihat melalui penubuhan JTBPP, yang diketuai Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, selaku Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
“Beberapa keputusan penting telah dicapai dan dimuktamadkan oleh jawatankuasa ini, antaranya ialah persetujuan memberi perwakilan kuasa meluluskan projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak atau pihak swasta tanpa had harga siling seperti disahkan oleh Datu Dr Azhar, Pengarah JPN Sarawak baru-baru ini.
“Kerajaan Sarawak serius untuk mengatasi masalah sekolah daif tidak dapat dinafikan. Ini telah dibuktikan dengan kesanggupan Sarawak menyumbang RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan suatu ketika dahulu.
“Untuk rekod, projek-projek penyelenggaraan kecil seperti pendawaian elektrik, baikpulih pusat rekreasi sekolah, naik taraf sistem kumbahan, naik taraf jalan simen dan jalan belian masuk ke sekolah dan lain-lain projek kecil, kebanyakkannya di bina melalui dana RTP atau MRP wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini projek-projek itu memerlukan tempoh kelulusan yang lama sebelum dapat dibina. Projek melalui dana RTP dan MRP ini tidak melibatkan gantian baharu struktur bangunan,” kata Ahmad Johnie.
Satu lagi isu yang membelenggu sektor pendidikan ialah kuasa melantik guru. Kuasa melantik guru, masih kekal dibawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan kemudian diserah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk diagihkan kepada negeri-negeri.
Menurut Ahmad Johnie, masalah kekurangan guru adalah masalah lama yang tidak pernah selesai, sekali gus akan memberi impak yang sangat negatif kepada sistem pelajaran dan pembelanjaran jika tidak diatasi segera.
Kita berharap pihak kerajaan Sarawak terutama melalui JTBPP untuk melihat semula dan jika perlu ubah ‘projek kecil’ kepada ‘projek berimpak tinggi’ untuk diturunkan kuasa melulus kepada Pengarah JPN Sarawak.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.