Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Berhenti menuding jari, fokus selesai punca insiden bangunan runtuh – PDP Wilayah Tengah
  • TEMPATAN

Berhenti menuding jari, fokus selesai punca insiden bangunan runtuh – PDP Wilayah Tengah

Utusan Sarawak 5 hours ago
RUNTUH… Satu deretan lapan unit kedai di Jalan Pahlawan, Sungai Merah, dilaporkan runtuh, baru-baru ini. Foto Akun Giman

SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) Wilayah Tengah menegaskan isu runtuhan rumah kedai di Jalan Pahlawan tidak boleh diselesaikan dengan terus menyalahkan pentadbiran lama.

Menurut kenyataan parti itu hari ini, tindakan mengalihkan tanggungjawab tidak akan menghapuskan risiko, sebaliknya kerajaan yang memegang kuasa sekarang perlu bertindak segera mencari penyelesaian.

PDP Wilayah Tengah turut menyatakan sokongan kepada pengerusinya merangkap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang sebelum ini membangkitkan isu sistem perparitan dan banjir di Sibu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Kami ingin mengemukakan satu persoalan mudah, jika setiap masalah ditangani dengan menoleh ke belakang dan menyalahkan pentadbiran terdahulu, maka apakah tujuan mentadbir pada hari ini?” menurut kenyataan tersebut.

Isu lama belum selesai

PDP Wilayah Tengah mempersoalkan perubahan sebenar yang telah dilaksanakan bagi menangani masalah banjir berulang di Sibu, walaupun isu itu telah dibangkitkan secara rasmi dalam Persidangan DUN Sarawak sebelum ini.

Menurut kenyataan itu lagi, banyak kawasan di bandar ini masih menggunakan sistem parit tanah biasa dan bukan perparitan monsun yang mampu menampung aliran air dalam jumlah besar.

“Setiap kali hujan lebat berpanjangan atau turun secara mengejut, sistem perparitan gagal menampung jumlah air, mengakibatkan banjir berulang, longkang tersumbat dan air bertakung,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, pendedahan berterusan kepada air dalam tempoh lama turut melemahkan struktur tanah serta asas bangunan, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan.

Pelan induk dipersoal

PDP Wilayah Tengah turut mempersoalkan ketiadaan pelan induk yang jelas dan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini tiada pelan tindakan perparitan yang telus, laporan hidraulik sungai yang dikongsi secara terbuka, mahupun garis masa jelas bagi kerja-kerja pengerukan dan naik taraf sistem saliran.

“Ini bukan tuduhan beremosi, sebaliknya fakta di lapangan. Sistem perparitan telah lama memerlukan rombakan menyeluruh,” tegas kenyataan itu.

Pada masa sama, parti itu menyifatkan insiden runtuhan berkenaan sebagai serius memandangkan bangunan terbabit menempatkan pusat tuisyen dengan pelajar keluar masuk setiap hari.

“Nasib baik kejadian berlaku lewat malam. Jika ia berlaku pada waktu siang, kemungkinan akibatnya sukar dibayangkan,” menurut kenyataan tersebut.

Tanggungjawab memegang kuasa

PDP Wilayah Tengah menegaskan sesiapa yang memegang kuasa perlu memikul tanggungjawab untuk bertindak dan tidak terus mengalihkan perhatian dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Menurutnya, wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memantau, bersuara dan menuntut penambahbaikan apabila melihat masalah, dan ia bukan bertujuan mencetuskan konfrontasi.

Dalam sektor pelancongan di bawah portfolio kementerian diterajui Datuk Seri Tiong King Sing, tambah kenyataan itu, pelbagai cabaran lama turut dihadapi namun pendekatan diambil adalah menyelesaikan isu secara berperingkat tanpa menjadikan ‘isu legasi’ sebagai alasan.

“Kesusahan dan keresahan rakyat tidak akan selesai melalui perang mulut. Apa yang diperlukan ialah hasil kejuruteraan yang nyata serta komitmen memperbaiki keadaan secara tuntas,” tegasnya.

PDP Wilayah Tengah menambah, hanya dengan pengakuan jujur terhadap kelemahan sedia ada dan tindakan konkrit, barulah perubahan sebenar dapat direalisasikan demi keselamatan awam.

Oleh Tarani Lanting

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak perkukuh penglibatan global di MWC Barcelona 2026, sasar GDP RM282 bilion menjelang 2030
Next: Enam masjid baharu dalam pelaksanaan, pembangunan modal insan terus diperkasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.