Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • STAIL
  • Bergendang jadi warisan keluarga Shahidah
  • STAIL

Bergendang jadi warisan keluarga Shahidah

Utusan Sarawak 3 years ago

SHAHIDAH Laila dan ibunya Jubaidah Mohammad merupakan antara Seh Gendang berpengalaman di negeri ini.

Tetak buluh panjang sepuluh

Pakai menjolok satang penyengat

Angkat tangan jari sepuluh

Doa semua semua selamat

Selendang biru pakai berjalan

Hendak berjalan nuju ke taman

Gendang Melayu jadi hiburan

Untuk warisan zaman berzaman

Dari jauh sudah kedengaran suara merdunya mengalunkan pantun sambil ditingkah dengan irama gendang yang rancak, menggamit rasa semua yang mendengar  untuk turut sama ‘bertandak’ dan ‘bermukun’.

Penuh fokus beliau mendengar pantun yang ‘dijual’ dan kemudian dengan senyuman manis, dia melontarkan jawapan pantun dengan rima yang bertepatan.  Sambil-sambil itu, tangannya rancak memukul gendang dengan ditemani ibunya di sebelah.

Itulah keistimewaan seh gendang seperti Shahidah Laila, 30, dan ibunya Jubaidah Mohammad, 53 yang penulis temui semasa menjayakan Pesta Kaul Sungai Kut Muara, baru-baru ini.

Bukan semua orang dapat melakukan apa yang kelihatan mudah bagi seh gendang.  Setiap kali pantun ‘dijual’, mereka harus segera faham apa yang disoal dan kemudian harus cepat memikirkan bait-bait pantun dengan rimanya sekali bagi memberi jawapan yang tepat.

“Saya sudah biasa.  Bila saya dengar apa yang ditanya oleh pemantun, dengan sendirinya saya akan mencari maksud dan pembayang yang sesuai untuk menjawab pantun berkenaan,” kata Shahidah yang berasal dari Daro.

Menurut Shahidah lagi, bergendang ibarat kerja turun-temurun keluarganya kerana beliau sendiri belajar bergendang dari neneknya yang berasal dari Kabong.

“Kalau kita dah ada darah bergendang itu, tak sukar untuk belajar walaupun masih muda.  Secara automatik boleh menguasai ilmu ini,” tambahnya.

Kata Shahidah, beliau sudah biasa mengikut nenek dan ibunya bergendang sejak kecil dan mula serius pada usia 14 tahun. Selain bergendang untuk memenuhi jemputan pelbagai acara perkahwinan dan acara rasmi, beliau dan ibunya juga kerap turut serta dalam pertandingan bergendang dan bertandak di seluruh Sarawak, Labuan serta negara jiran Brunei Darussalam.

Tidak mahu budaya ini  hilang ditelan zaman, buat masa ini, ibu Shahidah sedang melatih beberapa pelajar seawal usia 12 tahun untuk menjadi seh gendang terlatih dan beberapa orangdi antara mereka sudah mula bergiat di dalam bidang ini.

Justeru menjadi harapan beliau dan ibu agar aktiviti bergendang akan menjadi warisan zaman berzaman  dan ia harus dimulakan dari sekarang dengan mewariskannya kepada generasi muda.

Bagaimanapun kata Shahidah, tidak mudah untuk menarik ramai anak muda menyertai bidang ini kerana faktor utama yang membolehkan mereka menggalas tugas ini adalah minat.  Jika ada minat, ia dengan sendiri mendorong mereka untuk menjadi seh gendang yang baik .

 “Bagi saya sendiri, kalau keadaan mengizinkan, saya ingin terus menjadi seh gendang selagi hayat dikandung badan, sebab selain ini warisan keluarga, saya memang meminati bidang ini sepenuh hati,” ujar Shahidah.

Oleh HAINI DARANI

Continue Reading

Previous: Fokus kepada pertanian pintar
Next: RWMF serlah kreativiti anak tempatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.