
KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan sebagai tenaga pengajar, kecintaan bekas ratu cantik Malaysia Dr Soo Wincci terhadap dunia seni tidak pernah pudar, mendorongnya untuk kembali berlakon apabila ditawarkan watak bersesuaian.
Masih melihat dirinya sebagai anak seni, pelakon filem Kau Yang Satu ini bagaimanapun berkata beliau tidak mengutamakan soal bayaran sebaliknya lebih kepada cabaran, kualiti skrip dan kepuasan berkarya.
“Ramai pensyarah apabila masuk bidang akademik terus meninggalkan industri, tetapi saya tidak mahu begitu. Saya percaya kita kena kekal aktif dalam bidang asal supaya ilmu yang kita ajar lebih praktikal dan relevan,” katanya ketika ditemui di majlis Worthy Wonder Women Award 2025, baru-baru ini.
Pada majlis anugerah itu, Soo menerima pengiktirafan Anugerah Worthy Community Impact atas sumbangannya kepada komuniti selain dedikasi beliau dalam memberi inspirasi kepada generasi muda.
Terbaharu, Soo kembali ke layar menerusi drama Kerana Seorang Lelaki arahan Michael Ang, yang kini disiarkan di Astro Prima dan merupakan kemunculan pertamanya dalam drama tempatan dalam tempoh hampir 10 tahun.
“Tawaran ini datang tahun lalu apabila Michael sendiri hubungi saya dan terangkan tentang kekuatan skrip serta jalan ceritanya yang penuh konflik budaya dengan plot twist ala drama Korea. Saya memang teliti memilih skrip, dan apabila tahu konsepnya berbeza daripada klise drama biasa, saya terus setuju.
“Saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji selama setahun untuk beri komitmen penuh kerana projek ini besar dan menuntut pengorbanan,” katanya.
Soo berkata beliau juga sedang giat merencana projek muzik untuk mengeluarkan single dwibahasa Melayu dan Mandarin, selain berharap dapat menembusi pasaran Indonesia melalui kolaborasi lagu pada tahun depan.
“Saya berminat menghasilkan drama atau filem bertemakan undang-undang kerana kita belum ada karya sebegitu yang mendidik masyarakat. Itu antara impian saya,” katanya.
Artis serba boleh yang baru menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) keduanya dalam jurusan Artistik Produksi di University of Polytechnic, Sepanyol ini bagaimanapun mengakui berdepan cabaran peribadi dalam mengimbangi kerjaya akademik dan seni.
“Saya hampir tidak cukup tidur, berat badan saya turun hampir tujuh kilogram kerana tekanan. Tetapi bagi saya, selagi mampu berjalan saya akan teruskan,” katanya yang turut berkhidmat sebagai profesor adjung di beberapa universiti tempatan.– Bernama