Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Berdengkur dalam kalangan kanak-kanak mungkin isyarat masalah pernafasan – Pakar
  • KESIHATAN

Berdengkur dalam kalangan kanak-kanak mungkin isyarat masalah pernafasan – Pakar

Utusan Sarawak 5 hours ago
PAKAR perunding pernafasan pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Noor Zehan Abdul Rahim, semasa ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Berdengkur dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya dianggap sebagai tabiat remeh kerana ia mungkin menandakan gangguan pernafasan berkaitan tidur yang boleh menjejaskan pertumbuhan fizikal, perkembangan kognitif dan tingkah laku.

Perunding respiratori pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata masalah pernafasan dalam kalangan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, termasuk kondisi pernafasan utama seperti asma, rinitis alergi, penyebab berkaitan jantung serta gangguan pernafasan semasa tidur yang berpunca daripada masalah saluran pernafasan seperti laringomalasia atau pembesaran adenoid dan tonsil.

Dr Noor Zehan berkata peningkatan kesedaran mengenai gangguan pernafasan semasa tidur amat penting kerana keadaan itu hadir dalam pelbagai bentuk dan sering dikaitkan dengan pelbagai komorbiditi.

Beliau berkata kanak-kanak berumur enam hingga sembilan tahun berisiko lebih tinggi berikutan perubahan pertumbuhan berkaitan dalam anatomi saluran pernafasan, dengan risiko tersebut turut meningkat disebabkan faktor seperti obesiti, kelahiran pramatang serta asma.

“Prevalen global apnea tidur obstruktif dalam kalangan kanak-kanak adalah sekitar satu hingga enam peratus. Namun di Malaysia, data masih terhad walaupun kes gangguan pernafasan semasa tidur wujud,” katanya kepada Bernama.

Walaupun berdengkur adalah perkara biasa, Dr Noor Zehan berkata berdengkur secara berterusan yang berlaku tiga hingga empat malam seminggu dalam tempoh kira-kira tiga bulan mungkin menunjukkan keadaan yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan.

DR NOOR ZEHAN menjelaskan bahawa masalah berdengkur berpunca daripada penyumbatan separa pada saluran pernafasan ketika tidur. Foto Bernama

Beliau berkata berdengkur berpunca daripada penyumbatan separa saluran pernafasan semasa tidur. Keadaan ini boleh mengurangkan bekalan oksigen ke otak dan mengganggu kitaran tidur, sekali gus menjejaskan perkembangan kanak-kanak termasuk rembesan hormon pertumbuhan, metabolisme serta proses pembelajaran.

Selain itu, gangguan pernafasan semasa tidur yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan masalah perkembangan wajah dan penjajaran gigi akibat pernafasan melalui mulut yang berpanjangan.

“Mereka mungkin mengalami apa yang dikenali sebagai adenoidal facies, iaitu bentuk muka menjadi panjang yang mungkin mengubah penjajaran gigi,” katanya.

Ibu bapa disaran mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mereka mendapati simptom seperti berdengkur berterusan, kesukaran bernafas, kerap terjaga pada waktu malam atau kelesuan pada waktu siang.

Dr Noor Zehan berkata rawatan bergantung kepada punca asas dan mungkin termasuk pengurusan rinitis alergi atau asma serta rujukan kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk penilaian lanjut.

“Jika ia berpunca daripada rinitis alergi, ia perlu dirawat. Jika mereka mempunyai tonsil atau adenoid yang membesar, mereka perlu berjumpa pakar ENT untuk menilai sama ada ia perlu dibuang.

DR NOOR ZEHAN menekankan kepentingan bilik tidur yang selesa, berventilasi baik dan bebas kekusutan. Foto Bernama

“Sekiranya mereka terjejas oleh keadaan seperti obesiti, mereka mungkin memerlukan sokongan tambahan pada waktu malam, seperti Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (Continuous Positive Airway Pressure – CPAP) atau Tekanan Saluran Pernafasan Positif Dua Peringkat (Bilevel Positive Airway Pressure – BiPAP),” katanya.

Dr Noor Zehan turut menekankan kepentingan persekitaran tidur yang kondusif, dengan mengesyorkan suhu bilik yang selesa sekitar 25 darjah Celsius, pengudaraan yang baik, serta ruang yang bebas daripada kekusutan.

Pakar itu juga menekankan keperluan kesedaran awam dan intervensi awal, termasuk menggalakkan amalan tidur yang baik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bagi meningkatkan produktiviti.

“Kesedaran dalam kalangan pelajar di sekolah sangat penting supaya mereka sedar bahawa tidur yang mencukupi dapat meningkatkan produktiviti,” kata doktor itu sebagai kesimpulan, sambil menekankan bahawa mesej ini disampaikan tepat pada masanya bersempena Hari Pernafasan Sedunia yang disambut pada 11 April setiap tahun bagi memupuk kesedaran lebih tinggi mengenai kesihatan pernafasan. – Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Bangladesh lancar kempen vaksinasi demam campak kecemasan di tengah peningkatan kematian
Next: Sekadar pengsan atau penyakit jantung serius?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.