Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Beranikah anda naik pesawat tanpa juruterbang?
  • KOLUMNIS

Beranikah anda naik pesawat tanpa juruterbang?

Utusan Sarawak 4 months ago
GAMBAR hiasan.

KECERDASAN Buatan (AI) kini bukanlah suatu perkara yang asing, malah ia membawa banyak perubahan penting dalam kehidupan seharian kita.

Teknologi ini turut memacu perkem­bangan dalam pelbagai sektor termasuklah industri pengang­kutan udara. Dengan kejayaan kereta tanpa pemandu yang kini menjadi realiti di jalan raya, penghasilan pesawat komersial tanpa juruterbang juga semakin berpotensi untuk dilihat terbang di langit luas.

Teknologi AI ini mampu mempercepat proses automasi dengan keupayaan untuk mem­proses data secara masa nyata, mengenal pasti risiko dengan pantas dan membuat keputusan kritikal dengan ketepatan yang tinggi.

Keupayaan ini menjadikan AI sebagai komponen utama                dalam pengurusan data raya dan pengendalian situasi kompleks, terutamanya dalam sektor pener­bangan yang memerlukan tindak balas segera terhadap pelbagai keadaan operasi.

Pesawat komersial tanpa juru­terbang yang dimaksudkan di sini berbeza dengan Unmanned Air­craft System (UAS) sedia ada di pasaran seperti dron yang digu­nakan untuk rekreasi, penghan­taran kargo ringan atau peman­tauan kawasan selain pesawat yang digunakan oleh pihak tentera.

Hal ini disebabkan pesawat komersial tanpa juruterbang membawa penumpang yang memerlukan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang jauh lebih tinggi.

Oleh itu, pesawat ini memerlukan sistem AI yang jauh lebih kompleks untuk menangani trafik udara, perancangan per­jalanan dan pengurusan kese­lamatan penumpang.

Sistem AI ini mampu mengin­tegrasikan rangkaian sensor yang canggih, perisian kawalan penerbangan autonomi dan algo­ritma pembelajaran mesin yang disesuaikan untuk memastikan operasi berjalan lancar pada tahap yang lebih tinggi.

Namun, sejauh manakah kita bersedia menaiki pesawat komersial yang terbang tanpa kehadiran juruterbang manu­sia? Kelebihan utama pesawat komersial tanpa juruterbang ialah mengurangkan kos operasi.

Apa­bila pesawat terbang tidak lagi dipandu oleh juruterbang, maka syarikat penerbangan dapat menjimatkan kos latihan dan gaji yang biasanya melibatkan perbelanjaan besar. Penjimatan ini membolehkan syarikat pener- bangan menawarkan tambang lebih rendah kepada pelanggan dengan menambahkan ruang tempat duduk.

Di samping itu, program auto­masi dalam pesawat terbang ini akan dapat meminimumkan keperluan untuk kakitangan tambahan, terutamanya dalam penyelenggaraan kecemasan kerana sistem ini dilengkapi dengan teknologi canggih yang dapat mengesan dan menangani kebanyakan isu teknikal dengan pantas.

Selain itu, kecekapan penggu­naan bahan api dan kelestarian juga dapat dioptimumkan apabila laluan penerbangan dirancang dengan teliti menggunakan teknologi AI.

Hal ini membolehkan pesawat mengurangkan peng­gunaan bahan api, seterusnya menurunkan pelepasan karbon dengan ketara yang menjadikan operasi penerbangan lebih mesra alam.

Keselamatan penerbangan turut dipertingkatkan apabila teknologi AI ini dimanfaatkan. Dapatan umum dalam industri penerbangan menunjukkan baha­wa insiden penerbangan turut disebabkan oleh faktor manusia.

Pelbagai laporan dan analisis menyatakan bahawa kesilapan manusia seperti silap dalam membuat keputusan atau keleti­han, sering menjadi punca utama masalah operasi.

Dengan ada sistem automasi yang didorong oleh data dan algoritma AI, risiko ini dapat diminimumkan. Penerbangan yang dipandu oleh AI mampu membuat keputusan yang lebih tepat dalam situasi kritikal dan beroperasi secara konsisten tanpa terjejas oleh faktor seperti keletihan atau emosi manusia.

Tambahan pula, sistem ini dapat memantau prestasi pesawat secara masa nyata, memboleh- kan operator darat mengesan sebarang masalah dengan lebih cepat. Sebagai langkah tam­bahan, teknologi ini juga boleh dilengkapi dengan alat diagnostik berasaskan AI yang memberi amaran awal tentang sebarang potensi kegagalan komponen.

Namun, penggunaan teknologi AI untuk pesawat komersial tanpa juruterbang tidak terlepas daripa­da cabaran. Salah satu isu utama ialah ketidakpercayaan awam terhadap keselamatan pesawat tanpa juruterbang.

Kajian Oliver Wyman menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap teknologi penerbangan tanpa juruterbang masih rendah.

Hanya 17 peratus penumpang bersedia menaiki pesawat tanpa juruterbang, sementara selebihnya menyuara­kan kebimbangan terhadap kese­lamatan dan kebolehan teknologi ini.

Selain itu, apabila perkara ini menjadi realiti, kerjaya juruter­bang sedikit sebanyak mungkin akan terjejas. Dengan penerapan automasi dalam pesawat komer­sial tanpa juruterbang, keperluan untuk juruterbang manusia mung­kin berkurangan, terutamanya untuk penerbangan jarak dekat dan rutin.

Namun, hal ini tidak semestinya bermakna kerjaya juruter­bang akan lenyap sepenuhnya.

Sebaliknya, peranan mereka mungkin beralih kepada tugas- tugas lain seperti pengawasan operasi dari jauh, pengurusan krisis dan kawalan kecemasan.

Tambahan pula, juruterbang yang berpengalaman boleh memain­kan peranan penting dalam reka bentuk, pembangunan dan lati­han berkaitan teknologi pesawat ini bagi memastikan keselamatan dan kecekapan terus menjadi keutamaan.

Kos pembangunan dan infrastruktur yang tinggi juga merupakan cabaran besar dalam membina pesawat ini. Pembangunan sistem ini memerlukan pelaburan besar terutama dalam pembangunan teknologi sensor, algoritma pembelajaran mesin dan perisian kawalan penerbangan autonomi.

Walaupun syarikat besar mungkin mampu menanggung kos ini, pastinya syarikat pener­bangan kecil mungkin mengha- dapi kesukaran untuk bersaing.

Selain itu, infrastruktur seperti lapangan terbang dan peratu- ran keselamatan perlu diubah suai untuk menyokong operasi pesawat ini.

Pelaburan tamba­han dalam integrasi teknologi ini dengan sistem sedia ada adalah penting untuk memastikan kelan­caran operasinya.

Isu tanggung-jawab dan keselamatan siber turut menjadi cabaran utama. Dalam situasi kecemasan atau kegagalan teknikal, persoalan tentang pihak yang harus ber­tanggungjawab sama ada operator darat, pembangun sistem AI atau syarikat penerbangan masih kabur.

Tambahan pula, sistem kawalan pesawat berpotensi menjadi sasaran penggodam yang boleh membawa kepa­da bencana besar jika tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu, pelaburan dalam teknologi keselamatan siber adalah satu keperluan penting untuk melindungi sistem ini daripada anca­man luaran.

Untuk memastikan kejayaan pelaksanaan pesawat komersial tanpa juruterbang, persediaan rapi perlu dilakukan. Kerajaan, syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain harus bekerjasama untuk memastikan teknologi ini diterima dengan baik melalui ujian keselamatan yang telus dan pendidikan awam.

Lati­han kepada operator darat dan pengawal trafik udara juga perlu dipertingkatkan agar mereka dapat menangani situasi yang tidak dijangka.

Tambahan pula, pelaburan dalam teknologi keselamatan siber harus menjadi keutamaan untuk melindungi sistem pesawat ini daripada ancaman luaran.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) di Universiti Teknologi Malaysia dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Kenyataan retorika Dr Mahathir
Next: Brooketon: Pelaburan Brooke di Muara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.